Pelabuhan SPCT tingkat ekonomi, pelancongan di Pulau Pinang

Kon Yeow (tengah) ketika melancarkan projek naik taraf pelabuhan SPCT di Georgetown hari ini.
Kon Yeow (tengah) ketika melancarkan projek naik taraf pelabuhan SPCT di Georgetown hari ini.
A
A
A

GEORGE TOWN -Projek naik taraf pelabuhan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) akan memberi impak positif kepada ekonomi dan pelancongan di Pulau Pinang apabila ia siap kelak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek naik taraf berkenaan melibatkan pemanjangan dermaga sepanjang 220 meter ke utara terminal sedia ada dan pembangunan serta penstrukturan terminal penumpang dan pengguna SPCT.

Menurutnya, projek naik taraf ini akan dilaksanakan dalam tempoh 24 hingga 36 bulan dan apabila ia disiapkan, projek itu mampu mengendalikan 12,000 penumpang pada satu-satu masa.

“Industri kapal persiaran ini memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan dan sejak 10 tahun lalu industri ini menyaksikan peningkatan jumlah penumpang pada kadar 14 peratus setahun.

“Cruise Tourism di negara ini berpotensi dalam membantu merancakkan ekonomi negara dan saya percaya projek naik taraf pelabuhan ini membolehkan SPCT untuk mengendalikan sehingga 1.7 juta penumpang apabila ia siap sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek naik taraf SPCT di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Pengerusi Suruhanjaya Perlabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gin Eam.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, pihaknya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan industri kapal perindustrian di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Kementerian Pengangkutan juga berperanan untuk memastikan kemudahan industri kapal persiaran di pelabuhan dan terminal sentiasa dalam keadaan sempurna manakala MOTAC pula berperanan untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan kapal persiaran di negara ini.