X

Kindly register in order to view this article
!

Bahaya campur aduk tugas korporat

A
A

Proses menyelamat, menyusun semula dan mereformasi tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah rumit.

Yang sudah diketahui umum ialah 1Malaysia Development Berhad, SRC International Sdn Bhd, Tabung Haji, Kumpulan Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Sebenarnya banyak lagi yang sedang disusun semula bagi membuang amalan lama yang merosakkan. Ini termasuklah memperkukuhkan tadbir urus, tanggungjawab fidusiari dan mengelakkan percanggahan kepentingan.

Kali ini izinkan saya mengulas mengenai perbuatan mencampur-adukkan pengurusan harta kerajaan dengan harta parti politik, khususnya UMNO.

Hal ini penting difahami kerana terdapat tanda-tanda bahawa ia masih berterusan hingga ke hari ini walaupun mungkin dalam bentuk yang berbeza.

Contoh klasik adalah sebuah syarikat bernama Gabungan Kesturi Sdn Bhd. Hingga beberapa bulan lalu ia adalah salah satu pemegang saham terbesar Media Prima Bhd.

Ia syarikat proksi UMNO. Apa yang luar biasa adalah untuk satu jangka masa yang panjang – dari 2004 hingga 2019 – ia diuruskan oleh dua orang eksekutif GLC iaitu Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Datuk Rahman Ahmad.

Shahril sekarang ialah Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad dan sebelum itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Abdul Rahman baru saja tamat kontrak sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kini menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.

Mereka ini dianggap wunderkinder (budak-budak cerdik) zaman keruntu-han empayar perniagaan bumiputera akibat Krisis Kewangan Asia 1997-98.

Mereka dilantik mengurus aset-aset yang diambil alih oleh kerajaan daripada beberapa orang usahawan Melayu. Ini termasuklah aset UEM Bhd dan Realmild Sdn Bhd.

Ketua mereka ialah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bekas menteri dalam pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang menjadi persoalan ialah mereka juga menjadi proksi UMNO dalam Gabungan Kesturi mulai 21 Jun 2004. Maksudnya, Shahril dan Abdul Rahman jadi wakil UMNO pada masa mereka juga menguruskan KWSP dan PNB.

Mereka kekal sebagai penama UMNO dalam Gabungan Kesturi hingga selepas Pilihan Raya Umum 2018 dan berhenti hanya pada 11 Februari 2019.

Pada 18 Oktober 2019, Gabungan Kesturi ditukar menjadi Synergy DSI Capital Sdn Bhd dengan pemegang saham utamanya Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim. Dia ialah Ahli Parlimen Barisan Nasional Kuala Selangor dan antara orang kuat Najib.

Yang menarik ialah Gabungan Kesturi mempunyai saham dalam Ultra Kirana Sdn Bhd bersama rakan kongsi iaitu Wan Quoris Shah Abdul Ghani dan Harry Lee Vui Khiun.

Ultra Kirana sangat kaya kerana dapat duit mudah melalui kontrak Kementerian Dalam Negeri bagi memproses visa pelancong dari China.

Ia jadi bahan berita sensasi apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, didakwa tahun lalu kerana terima rasuah AS$4.2 juta (kira-kira RM12.6 juta) daripadanya.

Sehari kemudian dia didakwa lagi atas 33 tuduhan terima rasuah RM42.7 juta daripada juga daripada Ultra Kirana. Dia mengaku tidak bersalah.

Walaupun kes ini masih dibicarakan, namun pembabitan Shahril dan Abdul Rahman sebagai wakil UMNO dalam Gabungan Kesturi selama 15 tahun menimbulkan banyak persoalan kerana pada masa sama mereka merupakan pengurus GLC.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus