Pembangunan Kampong Bharu: Keputusan pembelian tanah diumum Jun ini

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (tengah) bersama para peserta penunggang motosikal pada Program Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWP) sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad (tengah) bersama para peserta penunggang motosikal pada Program Konvoi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWP) sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan berhubung pembelian tanah bagi pembangunan semula Kampong Bharu dijangka dapat diumumkan pada Jun ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) masih mempergiat usaha memberi penerangan kepada pemilik tanah berhubung skim pilihan tawaran.

"Ini kerana, semua sesi keterlibatan secara kelompok kecil mendapat maklum balas positif. Kami dapati mereka memahami apa yang sebenarnya ingin kami lakukan dan hasil daripada itu mereka memberikan persetujuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan kira-kira 1,500 peserta konvoi bermotor pelbagai kuasa anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWP) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka.

Dilaporkan pada Oktober tahun lepas, PKB menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk di situ berhubung pembangunan semula kawasan berkenaan dan daripada jumlah borang itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula dilapor berkata, tanah di Kampong Bharu ini akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan, bukan pihak lain dan agensi kerajaan itu pula akan membantu para pemilik tanah berkenaan membangunkannya tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.

Dalam pada itu, Khalid turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas sokongan baginda terhadap pembangunan semula Kampong Bharu.

Khalid menyifatkan tanda sokongan itu sebagai satu isyarat dan kepercayaan terhadap perancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membangunkan ikon Kuala Lumpur tersebut.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memaklumkan kerajaan sedang berusaha untuk membangunkan semula Kampong Bharu menerusi pelan pembangunan yang telah dirangka dengan teliti dalam titahnya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati, Putrajaya hari ini.

Seri Paduka dalam titahnya menyuarakan harapan agar pembangunan semula Kampong Bharu dapat direalisasikan dengan mengambil kira keutamaan hak dan kepentingan orang Melayu memandangkan Kampong Bharu merupakan simbol penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur.

Dalam titahnya juga, Seri Paduka menzahirkan rasa amat gembira dan bersyukur melihat usaha dan komitmen kerajaan dalam membangunkan Wilayah Persekutuan. - Bernama