Koronavirus: Malaysia ketuai Pusat Operasi Kecemasan ASEAN

Kakitangan Jabatan Kesihatan menggunakan kamera thermal bagi mengesan suhu pelancong yang mempunyai gejala demam bagi mencegah jangkitan koronavirus di Swettenham Pier Cruise Terminal, Pengkalan Weld. - Foto Bernama
Kakitangan Jabatan Kesihatan menggunakan kamera thermal bagi mengesan suhu pelancong yang mempunyai gejala demam bagi mencegah jangkitan koronavirus di Swettenham Pier Cruise Terminal, Pengkalan Weld. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengetuai rangkaian Pusat Operasi Kecemasan ASEAN dan terlibat secara aktif dengan negara anggota berhubung situasi terkini dan perkongsian data bagi meningkatkan keupayaan pengesanan dan komunikasi untuk mengekang penularan koronavirus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan komunikasi risiko kebangsaan ketika ini adalah menyebarkan langkah pencegahan dan kawalan termasuk menangani penyebaran berita dan maklumat palsu di media sosial.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia menyambut baik keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan koronavirus sebagai Darurat Kesihatan Awam Global (PHEIC) dan berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi selain meningkatkan pengawasan di semua pintu masuk antarabangsa negara walaupun sebelum perisytiharan itu.

"Ini termasuk pemeriksaan menggunakan pengimbas suhu badan, rujukan dari Jabatan Imigresen dan Deklarasi Diri.

"Pada masa ini terdapat 54 pengimbas suhu badan yang ditempatkan di 35 pintu masuk antarabangsa yang menerima jumlah pengembara yang ramai. Sebanyak 25 lagi pengimbas dijangka tiba tidak lama lagi dan akan ditempatkan di kawasan yang mempunyai keutamaan tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia telah melaksanakan pelan kesediaan dan respons dalam mengekang penyebaran koronavirus sebelum beberapa kes pertama dikesan di negara ini.

"Antara langkah yang kami ambil lebih daripada yang disarankan WHO adalah mengambil sampel dari tekak untuk mengesan virus pada individu tanpa gejala yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif. Pensampelan ini dilakukan melalui proses rumit dipanggil pengesanan kontak," katanya.

Mengenai keperluan mengenakan sekatan perjalanan, Dr Noor Hisham berkata, tiada keputusan setakat ini untuk menghalang semua penerbangan dari China ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sekatan penerbangan dari China: Anthony

“Sebarang keputusan perlu dibuat di peringkat kerajaan dan ia perlu dibuat berdasarkan maklumat yang cukup dan mempunyai justifikasi.

“Situasi semasa akan terus dipantau rapi berdasarkan kepada penilaian berterusan perkembangan di dalam negara dan rantau,” katanya sambil menambah langkah tambahan akan diambil jika ada keperluan berbuat demikian. - Bernama