Polis nafi penularan wabak koronavirus di Forest City

Maklumat palsu yang disebarkan di Facebook.
Maklumat palsu yang disebarkan di Facebook.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor menafikan penularan maklumat di laman sosial Facebook mengenai penyebaran wabak koronavirus yang didakwa sudah menular di Forest City, Iskandar Puteri hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kertas siasatan berhubung perkara itu juga sudah dibuka dan pihaknya sedang mengesan pemilik akaun Facebook bernama Haziq Fahami kerana menyebarkan berita palsu berkenaan.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

"Bagi kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Selain itu, kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang bertindak menyebarkan maklumat sedemikian selain memastikan hukuman setimpal diberikan.

"Pihak polis menegaskan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan aplikasi media sosial bagi memuat naik atau menularkan sebarang 'posting' atau komen palsu yang menggugat ketenteraman awam.

"Polis juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang melakukan perkara sedemikian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau berkata, satu laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Johor kira-kira jam 12.19 tengah hari tadi.

Katanya, laporan polis yang dibuat adalah berkaitan dengan penularan maklumat palsu mengenai penyebaran koronavirus di Forest City oleh seorang individu.

"Pengadu dalam kes terbabit mengesahkan bahawa penularan mesej oleh pemilik akaun Facebook terbabit adalah tidak benar," katanya.