Puspakom pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama di Malaysia

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tiga dari kiri) menyerahkan lesen pengoperasian kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman disaksikan Ketua Pegawai Operasi Puspakom (kiri), Datuk Dr Zahiri Ismail (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan (kanan).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tiga dari kiri) menyerahkan lesen pengoperasian kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman disaksikan Ketua Pegawai Operasi Puspakom (kiri), Datuk Dr Zahiri Ismail (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) kini memulakan operasi sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan yang pertama dalam negara berkuatkuasa 1 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, penganugerahan lesen operasi itu berupaya membuka peluang kepada Puspakom untuk menjadi entiti yang lebih lestari dan kompetitif dalam sektor automotif negara.

Menurut beliau, pihaknya akan memanfaatkan pengalaman 30 tahun dalam industri untuk digabungkan dengan teknologi terkini agar terus relevan dan kekal sebagai pilihan utama pelanggan.

“Puspakom berbangga menjadi pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama negara dan akan terus mengekalkan misi kami untuk menjadikan pengangkutan jalan raya lebih selamat melalui pemeriksaan kenderaan.

“Ketika persiapan untuk menghadapi landskap yang kompetitif, kami telah merangka pelan komprehensif untuk penambahbaikan agar lebih bersedia pada masa hadapan.

“Ini termasuk menaiktaraf perkhidmatan pelanggan, produk dan servis baharu serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menjadikan Puspakom bersedia menghadapi persaingan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Puspakom telah memulakan operasi percubaan selama 16 jam di cawangan Glenmarie Shah Alam yang kini dilaksanakan dalam dua syif, bermula jam 7 pagi sehingga 11 malam.

Mahmood Razak turut memaklumkan, tempoh percubaan operasi terbabit merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan dan pengumpulan data dari segi cabaran operasi serta penerimaan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, meskipun cawangan Glenmarie hanya untuk kereta persendirian, ia membolehkan pihaknya mendapatkan data yang diperlukan dan membuat penambahbaikan sebelum melaksanakannya di cawangan lain.

Jelasnya lagi, waktu operasi lebih panjang akan dilaksanakan di kawasan tumpuan pasaran utama setelah fasa percubaan berjaya dan data yang diperolehi dikaji.

“Fasa percubaan di Glenmarie akan berakhir pada 3 Januari 2025. Justeru, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan.

“Terutamanya Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana terus meletakkan kepercayaan kepada Puspakom.

“Dahulu, pemeriksaan kami mengambil masa lebih 75 minit, hari ini dengan penggunaan teknologi dan aliran kerja yang lebih baik, secara purata boleh diselesaikan dalam hanya 34 minit,“ ujarnya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!