Imigresen tahan 20 warga asing di kediaman elit Cyberjaya

Antara suspek yang bekerja sebagai operator dalam talian ditahan dalam operasi di empat premis di Cyberjaya hari ini.- Foto ihsan Imigresen
Antara suspek yang bekerja sebagai operator dalam talian ditahan dalam operasi di empat premis di Cyberjaya hari ini.- Foto ihsan Imigresen
A
A
A

CYBERJAYA - Jabatan Imigresen berjaya melumpuhkan sindiket melindungi pendatang asing yang melakukan kesalahan imigresen dan aktiviti dalam talian susulan penahanan 19 warga China dalam satu operasi di empat premis kediaman elit di sini pada jam 11 pagi tadi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan kesemua suspek yang disyaki bekerja sebagai operator aktiviti dalam talian itu turut membawa kepada rampasan tiga unit komputer peribadi, 17 unit komputer riba dan 34 unit telefon bimbit yang disyaki digunakan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, selain bertindak sebagai operator dalam talian, warga asing yang ditahan itu juga disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan tiada pas lawatan sosial.

"Turut ditahan dalam serbuan terbabit adalah seorang wanita warga Vietnam dan semua suspek terlibat berusia 18 hingga 55 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan premis kediaman elit yang diserbu dalam operasi imigresen. - Foto ihsan Imigresen
Keadaan premis kediaman elit yang diserbu dalam operasi imigresen. - Foto ihsan Imigresen

Terdahulu, operasi dijalankan itu dibuat berdasarkan risikan serta maklumat orang awam yang bimbang dengan kehadiran warga asing mencurigakan di premis tersebut.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1953/63 dan peraturan-peraturan berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Imigresen akan terus mengesan pemilik premis yang telah dikenal pasti bagi membantu melengkapkan siasatan," kata beliau.

Antara komputer riba yang dirampas dalam operasi tersebut. - Foto ihsan Imigresen
Antara komputer riba yang dirampas dalam operasi tersebut. - Foto ihsan Imigresen

Beliau berkata, pihaknya turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas akan dikenakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI digesa tampil menyalurkan kepada kami," katanya.