TARBIAH
A
A

Bimbanglah sekiranya kehidupan yang kita jalani saban hari akan berlalu begitu sahaja. Masa tidak pernah menunggu kita. Jadi, biarlah setiap detik kehidupan ini kita lalui dengan perasaan SEDAR bahawa kita ini adalah hamba ALLAH.

Diciptakan dengan tujuan yang suci. Justeru, kita perlu bentuk dan corakkan kehidupan kita selari dengan matlamat penciptaan tersebut. ALLAH berfirman: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu”. (Surah al-Zaariyat, ayat 56)

Biar apa pun profesion kita sekarang, pastikan ia diurus menjadi ibadat, meraih berkat dan menadah rahmat. Sebagai isteri, suami, ibu, ayah, anak, pelajar, pekerja, rakyat, menteri, Perdana Menteri sehinggalah kepada sultan sekali pun, semua kita menanggung gelaran yang sama iaitu HAMBA ALLAH. Hidup mesti mencari dan meraih redaNYA.

Semak semula kehidupan kita yang telah berlalu, adakah ia ditadbir di bawah reda ALLAH? Jika kebaikan yang lebih banyak memenuhi ruang lingkup kehidupan, alhamdulillah. Doakan ia bertambah dan berkekalan. Namun, sekiranya kejahatan yang bertakhta, bertenang sejenak. Bisik pada hati kecil dan tanyalah diri sendiri adakah kejahatan yang dicari dalam hidup ini?! Adakah kejahatan dan kezaliman yang akan dibawa sebagai bekalan bertemu Ilahi?

Pepatah Melayu sering menyebutkan “masa itu emas”. Ya, benar. Bahkan lebih berharga daripada emas. Manusia yang tidak menyedari nilai masa dan mempersia-siakanya, pasti akan datang padanya detik penyesalan. Saat itu penyesalan tidak lagi berguna.

Lihatlah bagaimana ALLAH menggambarkan penyesalan manusia di saat perpisahannya dengan alam dunia dan menuju ke alam akhirat. Berharap agar ajal ditangguhkan bagi memperbaiki amalnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati ALLAH (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi”.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". (Surah al-Munafiqun: ayat 9-10)

Namun, permintaan ini hanya tinggal harapan apabila ia dibalas: “Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan”. (Surah al-Munafiqun: ayat 11).

Apabila semua pihak menguruskan kehidupan demi memenuhi tuntutan penciptaan iaitu untuk beribadah kepada ALLAH, kehidupan ini akan menjadi indah, gembira, berjaya dan bahagia. Pemimpin yang memerintah, rakyat yang di bawah, ulama yang berhikmah, semuanya menjalankan tugas dengan niat ibadah untuk meraih reda ALLAH. Apabila ini yang berlaku, biar tahun berubah, biar umur bertambah, kita tidak akan resah kerana kita sedar hidup ini terarah. Semoga 2019 kita hadapi dengan penuh tabah!