Harap sekolah sediakan topeng muka: Exco Johor

Aminolhuda (kanan) menandatangani poster Back At School sebagai gimik pelancaran program berkenaan di SK Bandar Putra Kulai hari ini.
Aminolhuda (kanan) menandatangani poster Back At School sebagai gimik pelancaran program berkenaan di SK Bandar Putra Kulai hari ini.
A
A
A

KULAI - Semua sekolah di Johor diharap dapat menyediakan topeng muka kepada pelajar sebagai langkah berjaga-jaga dalam menangani pelbagai wabak penyakit terutama koronavirus.

Exco Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu juga antara langkah terbaik dalam melindungi kesihatan pelajar terutama yang mempunyai tahap imunisasi rendah.

“Saya berharap pihak sekolah dapat menyediakan topeng muka untuk melindungi pelajar-pelajar ini. Seandainya dapat dilakukan, ia memang bagus.

"Buat masa ini kita belum keluarkan arahan tetap cuma berharap ia dapat dilaksanakan untuk kebaikan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Program Back At School anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Kulai di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra Kulai di sini hari ini.

Menurutnya, bagi menjayakan usaha itu, mana-mana syarikat boleh membantu memberikan sumbangan topeng muka kepada sekolah-sekolah yang memerlukan.

Aminolhuda turut berharap usaha pencegahan penularan penyakit berjangkit mendapat kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa.

“Saya nak nasihatkan kepada ibu bapa, pastikan keadaan di rumah sendiri bersih, pakaian anak-anak mestilah bersih. Seandainya anak-anak itu mengalami batuk atau selesema pastikan mereka ini mendapat rawatan awal.

Artikel Berkaitan:

“Kalau boleh tidak perlu hantar anak ke sekolah, sebab kita bimbang berlaku jangkitan kepada rakan-rakan mereka. Cuma saya harapkan jika anak-anak itu sudah mahu sembuh, pastikan mereka ini pakai topeng muka,” katanya.

Sementara itu, berkenaan program Back At School yang dilancarkan, Aminolhuda berkata, program berkenaan merupakan tanggungjawab sosial (CSR) Pertubuhan Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Kulai bagi membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti kelas tuisyen percuma.

Katanya, seramai 35 murid Tahun Enam yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membabitkan SK Bandar Putra Kulai, SK Putra Utama, SK Senai Utama dan SK Kota Kulai 2 dipilih untuk menerima manfaat berkenaan.

“Mereka yang terpilih ini akan mengikuti kelas tuisyen secara percuma, yang mana ia akan memberi fokus kepada empat subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,” katanya.