Tulisan jawi, kaligrafi Cina eratkan dua kaum di Bachok

Norwahidah bersama Ching Soon (dua dari kiri) memotong kek bersama penduduk setempat pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gunong malam tadi.
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Norwahidah bersama Ching Soon (dua dari kiri) memotong kek bersama penduduk setempat pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gunong malam tadi. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

BACHOK - Orang Cina pandai menulis dan membaca tulisan jawi dan orang Melayu pandai menulis kaligraf Cina bukan sesuatu yang asing di kawasan Gunong di sini bahkan proses silang budaya itu mengeratkan hubungan antara dua kaum yang berbeza sejak sekian lama.

Ketua Kaum Cina Gunong, Tan Cheng Soon, 70, yang lebih dikenali sebagai 'Pak Lah' berkata, malah masyarakat setempat sudah tidak pelik apabila kira-kira 250 kaum Cina melibatkan 53 keluarga di kawasan itu boleh membaca tulisan jawi.

"Saya sendiri dahulu belajar di sekolah Melayu Gunong, jadi secara automatiknya mempelajari tulisan jawi sehingga boleh membaca dan menulis.

"Sekarang orang Melayu pun ramai yang belajar di sekolah Cina dan mahir membaca serta menulis kaligrafi Cina," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Gunong di sini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Norwahidah Zinalbidin dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Asli Mat Deris.

Sementara itu, Norwahidah berkata, keserasian antara kaum Melayu, Cina dan Siam menjadikan Kelantan sebagai negeri contoh dari segi perpaduan.

"Kita sayangkan keunikan di Kelantan, budaya dan gaya hidup antara kaum ini tidak banyak bezanya, orang Cina makan budu sudah biasa, apalagi hal baca dan tulis jawi.

"Pada saya, KRT Gunong jadi contoh penggerak utama untuk sebar cerita perpaduan bagi tatapan luar dan generasi hari ini kerana semua kaum di negeri ini disebut 'anak Kelantan' tanpa ada perbezaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi penduduk Kampung Bukit Hanyut, Tang Poo Chiam, 48, di Kelantan sama ada di bandar mahupun di kampung, kaum Cina pandai membaca dan menulis jawi sudah menjadi biasa.

"Kalau kita pergi ke Kota Bharu dan Jelawat, kita tidak hairan jika melihat orang Cina baca suratkhabar tulisan jawi, begitu juga ramai orang Melayu menghantar anak mereka ke sekolah Cina," katanya.

Penduduk Kampung Gunong, Lee Khen Bee, 53, berkata, pada masa dahulu, ramai masyarakat Cina yang belajar jawi hingga ada yang mendapat A bagi subjek tersebut. - Bernama