X

Kindly register in order to view this article
!

Agong puji langkah kerajaan cegah koronavirus

Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kagum atas pendekatan segera yang diambil kerajaan dalam mengelakkan penularan wabak 2019 novel koronavirus di negara ini.

Titah baginda, kerajaan bagaimanapun perlu mengambil langkah pencegahan yang berterusan dan tidak sesekali berkompromi dalam isu yang melibatkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam membendung penularan virus itu, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan rakyat agar berganding bahu dengan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

"Dalam hal ini, beta meminta seluruh rakyat untuk mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan juga sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.

"Rakyat juga diminta untuk tidak menimbulkan suasana cemas menerusi penularan berita yang tidak benar," titah baginda pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati di sini hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah, mengajak rakyat bersama menyokong usaha-usaha yang telah dan bakal diambil kerajaan dalam menangani wabak itu.

Baginda turut menzahirkan keyakinan semua isu berkaitan kesejahteraan rakyat dan negara dapat ditangani jika rakyat dan kerajaan bekerjasama.

"Ibarat pepatah Melayu lama 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing', beta yakin semua isu berhubung kesejahteraan rakyat dan negara akan dapat ditangani menerusi gandingan kerjasama antara kerajaan dengan rakyat," titah Seri Paduka.

Media melaporkan setakat semalam, wabak koronavirus telah mengorbankan 213 orang di China dengan lebih 9,720 kes jangkitan dicatatkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Jumlah kematian di China meningkat 213

Sebanyak 106 kes disahkan di 19 negara di luar China termasuk Malaysia yang mencatat lapan kes, kesemuanya melibatkan warga China.

Seramai 188 individu dikurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini. - Bernama