Tergamak ugut tikam ibu dengan parang

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang anak mengugut mahu menikam ibunya menggunakan parang selepas berang tidak diberi wang yang diminta di rumah mereka di Kampung Tapu, Telemong di sini Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun berada di rumah bersama seorang lagi anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) sebelum suspek berusia 30 tahun meminta sejumlah wang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek dikatakan mengamuk dengan memecahkan barangan di dalam rumah termasuk tingkap apabila ibunya enggan memenuhi permintaannya.

"Suspek turut bertindak di luar kawalan apabila mengugut mangsa dengan sebilah parang berukuran 10 sentimeter. Mangsa mengesyaki anaknya hendak membeli dadah dengan wang tersebut

"Mangsa memberitahu suspek sering bertindak demikian kerana setiap kali permintaannya mendapatkan wang tidak dilayan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang sudah tidak sanggup hidup dalam ketakutan selain bimbang akan keselamatan diri serta ahli keluarga lain nekad membuat laporan di Balai Polis Telemong pada hari yang sama.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Mohd Adli berkata, suspek yang memiliki empat rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya ditahan penduduk kampung selepas disyaki mencuri kelapa, sehari selepas kejadian Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini direman empat hari sehingga hari ini berkait dengan kes curi kelapa sebelum disiasat selanjutnya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.