Tak dapat minum ketum, suami terajang isteri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tergamak menerajang dan memulas tangan isteri selepas bengang hasratnya untuk keluar dihalang wanita itu di rumah mereka di Taman Terkukur, di sini Isnin lalu.

Wanita terseliuh tangan dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi sebelum itu menegur dan bertanya ke mana suaminya itu hendak pergi selepas melihat suspek bersiap-siap hendak keluar rumah.

Menurut sumber, suspek memberitahu hendak keluar minum air ketum dan jawapan itu menyebabkan mangsa berusia 30 tahun cuba menghalang dengan menyuruh menjaga anak kerana dia hendak keluar ke pasar membeli barang dapur.

"Bagaimanapun, suspek tetap berkeras untuk keluar juga dan bertindak menutup pintu pagar rumah dengan batu supaya mangsa tidak keluar ke pasar.

"Suspek juga mengambil anak mereka yang berusia enam bulan dan diletakkan di dalam kereta sebelum menyuruh mangsa membawanya bersama sekiranya masih berdegil hendak ke pasar," katanya.

Sumber berkata, tidak berpuas hati dengan tindakan suspek, mangsa mengambil batu yang diletakkan untuk menutup pagar rumah lalu cuba membaling ke arah motosikal suaminya dengan niat menghalang lelaki itu keluar rumah.

"Tindakan mangsa itu menyebabkan suspek naik angin sebelum mengamuk dengan menerajangnya selain memulas pergelangan tangan sehingga seliuh.

"Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami sakit di seluruh anggota badan selain bengkak dan sakit di pergelangan tangan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa turut mendakwa kejadian itu bukan kali pertama dilakukan suspek, malah sudah kerap berlaku sebelum ini.

"Wanita itu mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut kerana risau akan keselamatan diri serta anak pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini.

"Suspek ditahan di tepi jalan Sultan Oma kira-kira jam 4.45 petang, Selasa lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan selain Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.