Buku latih tubi serendah 50 sen

Pelbagai diskaun menarik menanti pengunjung pada Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf yang berlangsung semalam sehingga 9 Februari ini.
Pelbagai diskaun menarik menanti pengunjung pada Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf yang berlangsung semalam sehingga 9 Februari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai terutama peminat buku jangan lepaskan pe-luang mengunjungi Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf yang berlangsung di Kompleks Karangkraf bermula semalam sehingga 9 Februari ini.

Pengarah projek, Muhd Hazani Sukri berkata, pelbagai tawaran menarik menanti pengunjung sepanjang 10 hari jualan gudang tersebut berlangsung.

Lebih menarik, katanya, sebanyak 200,000 buku dengan harga serendah 50 sen ditawarkan kepada pengunjung.

“Sebelum ini kita tawarkan harga serendah RM1 untuk sebuah buku, namun kali ini mereka boleh dapatkan buku dengan harga hanya 50 sen.

“Bagaimanapun, tawaran ini hanya terbuka untuk 200,000 naskhah buku latih tubi terbitan Bestari Karangkraf terutama untuk sekolah rendah dan menengah.

“Ia seiring dengan slogan baharu Bestari Karangkraf iaitu Studi Sampai Jadi bagi membantu pelajar mendapatkan buku latihan yang terbaik untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran mereka,” katanya di sini semalam.

Muhd Hazani berkata, promosi itu juga bagi memperkenalkan karya terbi-tan Bestari Karangkraf yang giat menerbitkan buku akademik dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah, menengah dan rendah agama.

“Pembeli tidak perlu risau kerana buku pendidikan Bestari Karangkraf lebih berkualiti. Penulisnya berkaliber kerana terdiri daripada guru-guru cemerlang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, bagi peminat novel seram pula, diskaun sebanyak 20 peratus ditawarkan untuk karya terbaharu penulis terkenal, Ramlee Awang Murshid berjudul Haura.

“Bukan itu sahaja, kita turut menawarkan novel best seller daripada penulis terkemuka bermula pada harga RM3 dan RM5. Potongan harga menarik juga ditawarkan untuk semua koleksi al-Quran.

“Setiap hari pelbagai tawaran menarik akan ditawarkan dan diskaun sehingga 70 peratus menanti pengunjung,” katanya.

Menurutnya, orang ramai juga berpeluang berinteraksi dan beramah mesra dengan penulis terkenal, antaranya Aida Asmida, Naim Tamdjis dan Liza Nur.

“Kami menyediakan tiga lokasi untuk setiap ruang pameran mengikut jenis bahan bacaan bagi memudahkan pengunjung mencari buku yang diingini.

“Kita ada ruang pameran di Studio F, Auditorium dan lobi Karangkraf,” katanya.