Lelaki 'iklan' diri bakal dapat jodoh

Nooraziro melakukan inisiatif mencari jodoh dengan membuat gegantung sehingga tular di media sosial.
Nooraziro melakukan inisiatif mencari jodoh dengan membuat gegantung sehingga tular di media sosial.
A
A
A

MARANG - Usaha seorang lelaki 'mempromosikan' diri demi mencari jodoh akhirnya membuahkan hasil setelah dia menerima maklum balas positif dan bakal mendapat jodoh.

Nooraziro Abdullah, 36 dari Kampung Gong Nangka, Marang berkata, tidak menyangka usaha dilakukan dalam mencari suri hati itu berbaloi.

"Sebenarnya, saya hanya mahu mencari jodoh dalam kalangan orang tempatan sahaja.

"Tak sangka pula saya terima hampir 500 pesanan mudah alih, WhatsApp daripada mereka yang ingin mengenali secara dekat termasuk dari Sabah, Sarawak, Indonesia dan Singapura.

"Saya menghargai mereka yang memberi respons, namun kalau boleh saya mahu memilih wanita yang dekat-dekat sahaja, mungkin wanita dari Terengganu lebih sesuai," katanya yang mengakui kini sedang mengenali hati budi seorang wanita tempatan dari Terengganu.

Noraziro berkata, walaupun dia tidak meletakkan paras rupa sebagai ukuran, apa yang pasti, calon bakal isterinya itu perlulah seorang yang berpegang pada ajaran agama Islam serta boleh menerima dia dan keluarga seadanya.

"Rupa paras bukanlah ukuran, sebaliknya saya berharap calon isteri saya mempunyai asas agama, menghormati saya dan keluarga saya.

"Kalau boleh, saya rancang nak tamatkan zaman bujang dalam tahun ini mungkin dalam tiga atau empat bulan lagi kerana saya telah bersedia untuk berkahwin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tindakan berani Nooraziro yang menggantung poster di tepi jalan sebagai jalan terakhir untuk mencari jodoh mendapat perhatian ramai sehingga tular di media sosial.

Nooraziro berkata, dia nekad bertindak begitu kerana ingin berkahwin dalam tempoh terdekat memandangkan hanya dia seorang yang masih bujang dalam keluarga.

"Saya anak sulung daripada lima adik beradik, empat adik perempuan saya semuanya sudah mendirikan rumah tangga.

"Jadi, sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya menamatkan zaman bujang," katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Nooraziro berkata, sebelum ini dia telah beberapa kali cuba mencari jodoh, namun tidak berhasil.

"Sebelum ini ada pelbagai cara lain digunakan untuk mencari jodoh melalui inisiatif keluarga, namun tidak berjaya.

"Jadi saya terfikir untuk buat gegantung dan diletakkan berhampiran jalan bagi memudahkan lagi maklumat itu disampaikan," katanya.