[VIDEO] Bayar balik pelanggan jika penerbangan lewat lebih lima jam

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Syarikat penerbangan kini dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik sepenuhnya dalam cara pembayaran asal sekiranya mengalami kelewatan penerbangan lima jam dan lebih, berkuat kuasa Isnin depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembayaran perlu dilunaskan syarikat penerbangan dalam tempoh 30 hari sekiranya pelanggan memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan lima jam dan lebih.

"MOT melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), telah tambah baik Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang akan memberi perlindungan pengguna lebih baik," katanya menerusi sidang akhbar pasca Kabinet di sini pada Rabu.

Menurutnya, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal sekiranya mengalami gangguan penerbangan disebabkan oleh keadaan luar biasa.

Anthony Loke (tengah) semasa sidang media di Kementerian Pengangkutan pada Rabu. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Anthony Loke (tengah) semasa sidang media di Kementerian Pengangkutan pada Rabu. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

"Syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau 'credit shell'.

"Walau bagaimanapun, pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ujar Anthony, semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam dan luar talian.

"Ini adalah untuk melindungi pengguna supaya tidak membeli tiket penerbangan yang telah dibatalkan," katanya.

Tambah beliau, sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar, melainkan ia disebabkan oleh hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

"Peruntukan ini akan berkuat kuasa pada Januari 2025," katanya.

Menurut Anthony, sebarang denied boarding kerana tempahan penerbangan berlebihan perlu dimaklumkan kepada pengguna di kaunter daftar masuk atau di pintu berlepas.

"Menafikan pengguna yang telah menaiki pesawat adalah dilarang," katanya.

Selain itu turut ditambah baik adalah had masa untuk pengguna mengemukakan aduan dilanjutkan daripada satu kepada dua tahun.

MACPC merupakan kod perlindungan pertama yang khusus buat pengguna industri penerbangan Malaysia.

Kod ini memberikan ketelusan mengenai kewajipan syarikat penerbangan terhadap pengguna dan panduan yang lebih jelas terhadap hak dan kepentingan mereka apabila berlakunya gangguan penerbangan.

Jelas beliau, dengan penambahbaikan itu, pengguna penerbangan boleh mendapat jaminan perlindungan yang dipertingkatkan untuk perjalanan udara.

"MAVCOM juga akan meneruskan pengawasan terhadap prestasi syarikat penerbangan untuk memastikan pematuhan pada penanda aras industri yang telah ditetapkan bagi manfaat pengguna.

"Kegagalan untuk mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM200,000 dan dalam kes ketidakpatuhan kedua atau seterusnya, jumlah 10 kali ganda daripada penalti kewangan pertama akan dikenakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!