Kematian Nora Anne: Wanita mohon batal saman

Nora Anne
Nora Anne
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita memohon untuk membatalkan saman terhadapnya yang difailkan oleh keluarga Nora Anne Quoirin berikutan kematian remaja Ireland itu semasa bercuti bersama keluarganya di sebuah resort di sini tahun lepas.

Dalam pernyataan pembelaannya, Helen Marion Todd, 77, menafikan bahawa dia adalah pemilik perniagaan dan menjalankannya tanpa lesen perniagaan.

Todd yang dinamakan sebagai defendan dalam saman tersebut menegaskan siasatan polis membuat kesimpulan bahawa tidak ada unsur-unsur jenayah atau perbuatan khianat yang terlibat berhubung dengan kehilangan dan kematian Nora Anne dan pendakwa raya telah mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Selain itu beliau berkata, keputusan bedah siasat mendedahkan bahawa punca kematian adalah pendarahan gastrousus yang boleh dikaitkan dengan kelaparan.

Pernyataan pembelaannya itu difailkan melalui peguamnya, Thomas Philip di Mahkamah Sesyen di sini.

Todd juga memohon tuntutan plaintif ditolak dengan kos. Tuntutan berkenaan antara lain berkaitan dakwaan kegagalan untuk memastikan keselamatan resort.

Pada 24 Disember tahun lepas, ibu bapa Nora Anne, Meabh Josephine Quoirin dan Sebastian Marie Philippe Quoirin memfailkan saman terhadap pengendali The Dusun, resort di mana Nora Anne hilang pada 4 Ogos 2019.

Mayat remaja 15 tahun itu dijumpai 10 hari kemudian, kira-kira 2.5 kilometer dari resort tersebut.

Artikel Berkaitan:

Plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM152,707.90, ganti rugi umum yang dinilai oleh mahkamah dan ganti rugi RM30,000 untuk kematian. - Bernama