X

Kindly register in order to view this article
!

Bala daripada Tuhan?

A
A

BEBERAPA orang kaki lepak tegar kedai mamak sebelum ini mati kutu. Tempat biasa untuk meneguk teh tarik sambil membawang telah diserbu oleh Jabatan Imigresen.

Bukan sahaja kedai mamak tersebut, kedai-kedai runcit yang berdekatan pun sama juga. Selepas diserbu mereka terpaksa menutupnya sementara kerana kekurangan pekerja.

Pak Salim dan Imam Halim juga buntu mencari tempat untuk mengopi sambil menonton National Geographic. Nasib baik selepas beberapa hari tutup, kedai mamak itu dibuka semula.

Seperti biasa selepas solat Isyak, Pak Salim, Imam Halim terus ke kedai mamak untuk menjamah roti canai dan teh tarik. Pada malam itu, tumpuan bukan kepada National Geographic tetapi kepada berita wabak koronavirus.

Masing-masing memberi tumpuan kepada berita yang terpampang di skrin televisyen bersaiz 32 inci. Sambil mencecah roti canai dan meneguk teh tarik, mereka membisu untuk mengetahui angka terkini.

“Bala, bala. Ini semua bala,” seorang pemuda yang duduk di meja sebelah tiba-tiba bersuara.

“Apa yang bala?” tanya Pak Salim. Imam Halim.

“Balalah. Bala daripada Tuhan sebab tidak mengikuti perintahnya,” jawab pemuda itu lagi.

“Tak ikut perintah Tuhan yang mana?” tanya Pak Salim lagi.

“Tuhan kitalah.”

“Depa bukan agama Islam. Depa ikut agama depalah,” jawab Pak Salim.

“Siapa suruh depa ikut agama depa,” kata pemuda itu pula.

“Yalah mungkin ada yang belum Islam lagi,” jawab Pak Salim.

“Tak kisahlah. Ini semua bala sebab negara depa menganiaya kaum Uighur. Sebab itu Tuhan turun bala kepada depa semua,” kata pemuda tersebut

“Bukan ke sebab depa makan makanan eksotik?” tanya Pak Salim lagi.

“Tuhan turun bala kepada mereka sebab dua perkara. Satu, sebab makan dan yang kedua sebab aniaya,” kata pemuda tersebut lagi.

“Mungkin bukan semua begitu. Kalau betul depa aniaya Uighur, kenapa Tuhan tak terus sahaja selamatkan Uighyur dan balakan sahaja kepada pemerintah. Kenapa hendak turunkan bala kepada penduduk Wuhan pula?”

“Kau tahu tak? Jangan bersangka-sangka sahaja. Sebelum nak tahu itu bala, kenalah faham beberapa perkara. Kau kena tahu yang ALLAH bersifat pengasih dan penyayang. Kaupun selalu bacakan?

“Jadi kerana ALLAH itu bersifat pengasih dan penyayang, maka sebelum dihantar bala, Dia sempurnakanlah buktinya dulu. Dia hantar Rasul. Selepas itu kalau ingkar juga maka dihantarnya bala. Bala itu hanya kepada mereka yang ingkar sahaja.

“Itulah yang dikisahkan dalam al-Quran yang kau sebut tadi. Hanya manusia pilihan ALLAH yang boleh tentukan bala atau tidak. Kau ni manusia pilihan ke?”

Seketika Imam Halim mencuit Pak Salim, “Itmam al-Hujah itu bukan untuk Rasul sahaja?”

Jawabnya, “Ada perbahasan juga. Tapi budak ini bukan tahu apa?”

Pemuda itu menggaru-garu kepala, kemudian berkata: “Mana aku tahu. Tapi kalau jadi tu kira bala Tuhanlah. Lagipun aku ada dengar ustaz kata juga semasa aku kecil dulu.”

Jawab Pak Salim: “Tak boleh ke sebagai manusia bersifat pengasih dan penyayang. Kalaupun bukan Islam bukankah elok kita bersimpati?”

Pemuda itu mendiamkan diri. Matanya masih terpaku pada skrin 32 inci tersebut. Mulutnya pula kelihatan mengunyah-ngunyah pula.

“Bala tu bala,” katanya lagi dan terus bingkas meninggalkan mejanya.

* Faisal Ahmad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!