TPM ucap takziah kepada keluarga Uma Sambanthan

Toh Puan Uma Sambanthan meninggal dunia tengah hari tadi.
Toh Puan Uma Sambanthan meninggal dunia tengah hari tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan takziah kepada keluarga Toh Puan Uma Sambanthan, isteri mendiang Tun V T Sambanthan yang meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Semoga keluarga mendiang tabah mengharungi dugaan ini,” kata beliau dalam catatan di akaun Twitternya hari ini.

Uma yang berusia 90 tahun meninggalkan seorang anak perempuan, Deva Kunjari.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran juga menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Uma.

“Uma adalah antara orang pertama saya jumpa apabila saya menjadi seorang menteri, restu beliau amat penting kepada saya dan beliau sentiasa tersemat di hati saya.

"Beliau selalu berbincang dengan saya mengenai isu-isu negara dan amat prihatin terhadap perkembangan politik di dalam negara kita,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kula Segaran berkata, anak Uma yang juga seorang peguam merupakan seorang rakan rapat kepada keluarganya.

Beliau berkata, Uma adalah seorang aktivis, pekerja sosial dan merupakan tokoh utama dalam gerakan koperasi di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Uma juga dikenali dalam kerja-kerja amal dan sebagai pejuang isu-isu wanita dan merupakan salah seorang pengasas Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan pernah menjadi presiden dalam satu masa.

“Beliau seorang yang berdedikasi dalam berkhidmat untuk negara dan rakyat sama seperti suaminya dan harus dikenang sebegitu,” katanya.

Sambanthan ialah presiden kelima MIC dari 1955 hingga 1973 dan salah seorang yang berjuang di samping Tunku Abdul Rahman dan Tun Tan Cheng Lock untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

Beliau juga memegang beberapa jawatan Menteri: Buruh (1955-57), Kesihatan (1957-59), Tenaga, Telekom dan Pos (1959-71) dan Perpaduan Negara (1972-74). -Bernama