NGO Malaysia suarakan sokongan terhadap Palestin

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan rakyat Palestin ekoran pengumuman Pelan Damai Timur Tengah oleh Presiden Donald Trump pada Selasa.

Sambil menyuarakan sokongan terhadap Palestin, kumpulan itu menggesa usaha sederap masyarakat antarabangsa untuk menghentikan cadangan perjanjian itu yang dikenali 'Perjanjian Abad Ini' daripada terlaksana.

"Kami menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengadakan mesyuarat tergempar atau memanggil Majlis Keselamatan bersidang bagi meluluskan ketetapan mengutuk pelan melampau yang mengejutkan itu.

"Kerajaan Malaysia seharusnya mendesak PBB memanggil sidang tergempar ini secepat mungkin bagi menolak perjanjian berkenaan," kata Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, bagi pihak gabungan itu pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kumpulan itu turut menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan forum antarabangsa lain bersidang dan meluluskan deklarasi menolak pelan berkenaan tanpa syarat.

Gabungan itu berkata, perjanjian tersebut adalah pencabulan melampau terhadap hak rakyat Palestin dan tidak menghiraukan semua perjanjian sebelum ini, yang diasaskan dengan penyelesaian dua negara, selain seolah-olah meremehkan tuntutan Palestin untuk sebuah negara berasaskan sempadan sebelum 1967.

"Apa yang masih tinggal untuk rakyat Palestin daripada apa yang dikatakan Perjanjian Abad Ini?

"Dengan kata lain, ia bermakna satu usaha untuk menghumbankan perjuangan sah rakyat Palestin sejak abad ini untuk mendapat hak kembali ke tanah air, hak untuk merdeka dan hak untuk pulang, ke bakul sampah sejarah, untuk dilupakan dan dilenyapkan sepenuhnya daripada ingatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut mengecam sesetengah negara Arab kerana menyokong perjanjian ini dan mendokong agenda AS-Israel dalam menghakis hak Palestin.

Dianjurkan menerusi Kempen Selamatkan al-Quds, sebanyak 13 NGO hadir dalam sidang akhbar ini termasuk Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Perikatan Wanita menyokong al-Quds dan Palestin (MWCQP), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Muslim Care Malaysia.

Perjanjian yang diumumkan Trump di Rumah Putih pada Selasa itu, serta merta ditolak oleh pemimpin dan pertubuhan politik Palestin. - Bernama