Pelancong China dijangka menurun di Pahang

Ishak Mokhtar
Ishak Mokhtar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menjangkakan jumlah kedatangan pelancong luar negara terutama dari China merosot meskipun promosi hebat sempena Tahun Malaysia 2020 kesan daripada wabak koronavirus.

Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, seramai sejuta pelancong luar negara adalah dari negara China.

Menurutnya, sebelum ini, pelancong China paling ramai dan kerap mengunjungi Genting Highlands dan bandar Kuantan.

"Pelancong China secara konsisten berjumlah kira-kira sejuta daripada 14 juta pelancong ke Pahang. Trend kedatangan mereka konsisten dan bertambah dari tahun ke tahun.

"Tapi tahun ini, pasti ada penurunan walaupun awalnya kita menyasarkan sehingga 15 juta pelancong secara keseluruhan.

Dalam industri pelancongan, kejadian wabak sebegini pasti akan beri kesan kepada trend kedatangan pelancong termasuk kejadian seperti nahas pesawat MH370 dan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi taklimat penularan dan kawalan koronavirus di Hotel De Rhu Beach Resort Kuantan di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK); Datuk Hamdan Hussin; Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan; Fatimah A Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Datuk Suhaimi Yunos.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya Pahang tidak menyekat kedatangan pelancong asing kecuali warga China dari Wuhan dan Hubei.

Katanya, masih terlalu awal untuk memperoleh jumlah sebenar kedatangan pelancong yang baharu kerana statistik hanya akan diketahui pada Mac ini.

Sementara itu Hamdan berkata, MPK menyeru kepada seramai 175 pemilik premis hotel dan penginapan di daerah Kuantan supaya melakukan saringan kesihatan terhadap tetamu yang mendaftar masuk.

"Sekiranya terdapat tetamu yang menghidap gejala demam, batuk dan selesema contohnya, mereka boleh meminta tetamu itu membuatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya.

Pada program tersebut beliau menjelaskan MPK kini menjalankan kerjasama sepadu dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan Pelancongan Pahang bagi melaksanakan proses saringan kesihatan secara holistik dan optimum dengan memberi tumpuan di pintu masuk Kuantan.

Sementara itu Fatimah pula berkata, selain alat pengimbas suhu yang diletakkan di tiga pintu masuk antarabangsa di negeri ini, pelancong turut dibekalkan dengan kad amaran kesihatan (health alert card) untuk mengisytiharkan tahap kesihatan mereka.

"Semua pelancong yang memasuki negeri ini akan diimbas suhu badan manakala pengusaha hotel contohnya boleh meminta tetamu menunjukkan 'health alert card' untuk mengetahui tahap kesihatan mereka," katanya.

Terdahulu, kerajaan Pahang meletakkan alat pengimbas suhu di tiga pintu masuk antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Pelabuhan Kuantan dan Jeti Tekek di Pulau Tioman bagi mencegah wabak koronavirus.