Salur RM92,235 bantu 47 peladang di Terengganu

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Bencana Agro Makanan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Setiu yang diwakili oleh Che Aziz Che Hamid pada Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Ahli Peladang Terengganu di Peladang Setiu Agro Resort hari ini. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman (dua, kiri) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (kiri).
Seramai 47 pesawah padi melibatkan PPK Setiu dan Kuala Terengganu menerima bantuan tersebut bernilai RM92,235.95 selepas tanaman mereka rosak akibat banjir dan kemarau baru-baru ini. - Foto Bernama

A
A
A

SETIU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyalurkan RM92,235 daripada Tabung Bencana Tanaman Padi untuk membantu 47 peladang di Terengganu yang terjejas akibat bencana alam sepanjang tahun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM51,051 diagihkan kepada 18 pesawah di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Setiu yang terjejas banjir manakala RM41,184 diagihkan kepada 29 pesawah di PPK Kuala Terengganu.

"Bagi peladang yang rumah mereka dilanda banjir pula, peruntukan sebanyak RM15,000 daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah disalurkan kepada 260 individu yang terlibat.

"Kementerian berharap bantuan yang diberi dapat meringankan beban peladang untuk meneruskan tanaman seperti biasa dan kami di kementerian akan memastikan kebajikan peladang terus diberi perhatian utama sekiranya berdepan waktu sukar ditimpa bencana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Tabung Bencana Tanaman Padi dan Tabung Bantuan Bencana Agro Makanan di Peladang Setiu Agro Resort di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman.

Sehingga kini, terdapat 47,235 peladang daripada 15 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Terengganu.

Dalam pada itu, beberapa peladang yang ditemui Bernama sangat berterima kasih kepada LPP dengan bantuan berupa barangan keperluan harian yang diterima hari ini, menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin terhadap musibah yang menimpa mereka.

Peladang dari Manir, Kuala Nerus A Aziz Embong, 62, berkata sumbangan itu dapat membantu meringankan kos perbelanjaannya sekeluarga kerana setiap kali banjir, ladang sayur-sayuran yang diusahakannya akan mengalami kerugian.

Artikel Berkaitan:

Rusdi Yusof, 52, dari Kampung Tanjung Alir, Besut pula berharap bantuan itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia sangat membantu golongan peladang yang terjejas setiap kali bencana banjir berlaku.- Bernama