X

Kindly register in order to view this article
!

Koop Sahabat peruntuk RM54.8 juta pinjaman i-Lestari

Mohd Najib menurunkan tandatangan di atas replika cek i-Lestari ketika majlis perasmian Mesyuarat Agung Kawasan kali Ke-4 Dan Pembiayaan i-Lestari Koop Sahabat 2020 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) memperuntukkan sebanyak RM54.8 juta bagi merealisasikan produk pembiayaan peribadi i-Lestari.

Pengerusinya, Mohd Najib Mohd Noor berkata, menerusi produk tersebut, pihaknya dapat menawarkan pinjaman perniagaan kepada anggota dengan jumlah maksimum pinjaman sebanyak RM300,000 untuk mereka meluaskan dan meningkatkan perniagaan yang diceburi.

Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung dapat membantu anggota terutama golongan berpendapatan rendah (B40) menambahkan pendapatan isi rumah dengan modal pinjaman yang tinggi selain membolehkan mereka memiliki harta dan perniagaan sendiri.

"Walaupun i-Lestari baru diperkenalkan, namun sudah menerima empat permohonan dengan jumlah yang telah diluluskan sebanyak RM290,000.

"Bantuan ini sebagai rangsangan kepada golongan terbabit untuk memajukan diri dan sebenarnya kita menjenamakan semula produk i-Usahawan dengan memperkenalkan i-Lestari dengan pelan perancangan tahun 2020 hingga 2024," katanya.

Mohd Najib berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Kawasan Kali Ke-4 Dan Pembiayaan i-Lestari Koop Sahabat 2020 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Mazri Mahmod; Setiausaha Lembaga Koop Sahabat, Norsharizal Masharin dan Bendahari Lembaga Koop Sahabat, Hartati Abd Jalil.

Terdahulu, Mohd Najib turut melancarkan aplikasi mudah alih 'Sahabat Koop Super App' yang akan menjadi platform digital untuk membantu anggotanya memasarkan dan menjual produk kepada ekosistem koperasi dan Amanah Ikhtiar Malaysia melalui aplikasi e-dagang Sahabat Bazaar.

Sementara itu, Mohd Najib berkata, Koop Sahabat juga menyediakan pinjaman pembiayaan i-Umrah dan Ziarah untuk memenuhi permintaan kira-kira 223,000 ahli di seluruh negara bagi menunaikan ibadah tersebut bermula Januari tahun ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus