'Jangan risau, kami selamat di sini'- Pelajar Malaysia di Wuhan

Petugas kesihatan memeriksa suhu badan penumpang di Nanjing, China. -Foto EPA
Petugas kesihatan memeriksa suhu badan penumpang di Nanjing, China. -Foto EPA
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Keluarga dan kawan-kawan di Malaysia jangan risau, kami okay dan selamat di sini," kata Yeong Kai Yi, 26, rakyat Malaysia yang menuntut di Central China Normal University di bandar Wuhan, China.

Penuntut tahun akhir 'School of Fine Arts' itu bagaimanapun berkata, pergerakannya terbatas hanya di hostel dan kampus universiti berkenaan susulan kerajaan China dilapor melaksana perintah berkurung di beberapa bandar raya di negara itu ekoran penularan wabak 2019 novel koronavirus.

"Keadaan sekarang sememangnya membuatkan saya risau nak keluar (ke tempat awam). Jadi, untuk selamat daripada dijangkiti, saya duduk dalam bilik saya sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Berkongsi situasi terkini di kampusnya, Kai Yi berkata, hanya tinggal kira-kira 100 pelajar antarabangsa termasuk dirinya dan dua lagi pelajar dari Malaysia selepas kesemua pelajar tempatan serta pensyarah pulang ke kampung masing-masing berikutan cuti semester.

"Kami semua dinasihatkan tinggal di bilik masing-masing dan tidak keluar dari kampus,” katanya sambil menambah bahawa pihak universiti sentiasa mengambil berat mengenai keadaan mereka.

"In case ada apa-apa emergency, teacher (pensyarah) akan ikut pelajar ke hospital dan mereka juga ada berkongsi nombor-nombor kecemasan yang boleh dihubungi," katanya.

Ditanya mengenai bekalan makanan, Kai Yi berkata, tiada sebarang masalah untuk mendapatkan makanan di universiti itu memandangkan kantin dan beberapa kedai di kampus masih beroperasi.

“Kami masih boleh mendapatkan makanan kerana kantin dan beberapa kedai di kampus masih dibuka," katanya yang sentiasa berhubung dengan keluarganya di Chemor, Perak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang geofizik di China University of Geosciences di Wuhan, S. Balachandar, 43, berkata, selepas sembilan hari 'berkurung' di rumah, beliau mengambil keputusan untuk keluar ke pasar berdekatan bagi membeli bekalan makanan tambahan.

"Semalam sahaja saya keluar rumah ke pasar berhampiran...dalam lima minit perjalanan. Untuk melihat ada atau tidak kedai dibuka.

"Nasib ada satu kedai buka yang jual sayur-sayuran sahaja, ada juga kedai jual buah-buahan dan satu kedai runcit dibuka dan bolehlah saya beli stok makanan di rumah yang hanya mencukupi hingga esok," katanya yang tinggal di luar kawasan kampusnya bersama isteri dan dua anak lelakinya.

Balachandar berkata, beliau dan keluarganya berada dalam keadaan sihat dan berharap keluarganya di Malaysia tidak bimbang mengenai keadaan mereka.

"Kami sekeluarga selamat dan sihat, jangan risau," katanya yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Beliau berkata, selain daripada sentiasa menghubungi lapan pelajar di Wuhan, pihak Kedutaan Besar Malaysia di China sedang berusaha untuk membantu menghantar bekalan makanan kepada semua pelajar Malaysia meskipun menghadapi masalah logistik. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Jumlah kematian di China meningkat 213

WHO isytihar koronavirus Wuhan sebagai kecemasan kesihatan global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV).

Pengisytiharan itu dibuat dalam sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan yang berlangsung di Geneva, hari ini.

"Keluarga dan kawan-kawan di Malaysia jangan risau, kami okay dan selamat di sini," kata Yeong Kai Yi.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, perkara yang amat membimbangkan adalah potensi virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.

"Sebab utama pengisytiharan ini bukan kerana situasi di China tetapi kerana negara lain.

"Terdapat 98 kes di 18 negara di luar China, termasuk lapan kes jangkitan manusia ke manusia di empat negara iaitu Jerman, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.