Kerajaan sedia sekat pelancong China: Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PAGOH - Kerajaan bersedia untuk mengambil tindakan susulan termasuk menyekat kemasukan pelancong dari China susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkenaan wabak koronavirus di negara berkenaan sebagai darurat kesihatan awam global semalam.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, perkara berkenaan akan diteliti dengan jelas terlebih dahulu selain menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Kesihatan Negara yang diketuai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

"Ya, saya baca (kenyataan WHO) tetapi saya tidak dapat baca sepenuhnya dalam media sosial. Kita perlu sahkan bahawa mereka sudah melihat dengan apa yang berlaku di negara China itu sudah meluas, mengiktiraf ini sudah menjadi wabak di peringkat global. Tetapi dalam kenyataan itu tidak semestinya ada langkah untuk sekatan sepenuhnya.

"Di peringkat negara ini, kita ada jawatankuasa, Menteri Kesihatan menerajui jawatankuasa itu dan kita adalah ahli. Jadi jika sudah timbul perkara itu kita akan teliti segera sama ada dengan keputusan WHO itu wajarkah kita perluaskan lagi langkah-langkah sekatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Serentak Cawangan, Srikandi dan Armada Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Pagoh di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Muhyiddin berkata, setakat ini langkah-langkah yang diambil kerajaan hanyalah dengan menyekat kemasukan pelancong China dari wilayah Wuhan dan Hubei sahaja.

"Apa pun Jawatankuasa Kesihatan Negara boleh teliti dan jika perlu kita luaskan lagi sekatan ini dan Kabinet juga bersetuju maka kita akan laksanakan juga (sekatan penuh). Sementara ini kita kekal dengan status sedia ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, WHO membuat pengumuman bahawa wabak koronavirus yang telah mengakibatkan kematian 170 orang di China sebagai darurat kesihatan awam global apabila ia telah merebak ke 18 negara.

Sebahagian besar daripada lebih 7,800 kes dikesan di peringkat global, menurut data terbaru WHO di mana virus itu mula dikesan di sebuah pasar hidupan liar haram di bandaraya Wuhan.

ARTIKEL BERKAITAN WHO isytihar koronavirus Wuhan sebagai kecemasan kesihatan global