Tiga sahabat kaki samun!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLUANG - Tiga rakan diberkas polis ketika sedang leka membahagikan hasil samun beberapa jam selepas mereka menyamun beberapa buah kedai serbaneka 24 jam di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, tangkapan berkenaan dilakukan pada jam 6 pagi semalam oleh anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dibantu anggota Balai Polis Kluang dan unit MPV Kluang.

Katanya, kesemua mereka yang ditangkap dipercayai bergerak dalam kumpulan ketika melakukan tujuh kes kegiatan samun kedai serbaneka termasuk dua kes pada 28 Januari dan lima kes pada 30 Jan.

“Mereka ditahan di sebuah rumah di Jalan Padang Tembak, Kluang ketika sedang membahagikan hasil samun mereka pada 30 Januari yang dilakukan sekitar jam 4.22 hingga 5.40 pagi.

“Ketiga-tiga suspek yang berusia sekitar 18 hingga 22 tahun itu dipercayai melakukan aktiviti samun berkenaan untuk membeli dadah setelah masing-masing didapati positif bahan terlarang itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kluang hari ini.

Jelas Mohd Abduh, dua kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha 125zr dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux kepunyaan ibu kepada salah seorang suspek berkenaan turut dirampas semasa serbuan dilakukan.

Katanya, antara barangan lain yang dirampas adalah 129 kotak rokok pelbagai jenama, 10 keping sampul surat, lima keping kad pelbagai jenis, empat buah telefon bimbit, empat buah dompet, tiga helai resit kedai serbaneka, dua buah topi keledar, dua helai topeng mulut, dua buah peti wang tunai, sebuah tabung kebajikan, sehelai jaket, seutas jam tangan, sebilah pisau, sebuah beg hitam dan sebentuk cincin.

“Pihak polis juga turut percaya yang kumpulan ini baru ‘berjinak-jinak’ dengan kegiatan berkenaan apabila masing-masing tidak mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan kita juga turut sedang melakukan siasatan sama ada terdapatnya ahli lain dalam kumpulan ini atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan mereka ini boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 5 Februari depan,” katanya. - Bernama