Jemaah haji muassasah kekal bayar RM9,980: Mujahid

Mujahid (dua dari kiri) ketika acara pelancaran pada majlis 'Soft Launch' Residensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Sekolah Rendah Agama Saidina Ali (K.W) hari ini. - Foto Bernama
Mujahid (dua dari kiri) ketika acara pelancaran pada majlis 'Soft Launch' Residensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Sekolah Rendah Agama Saidina Ali (K.W) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jemaah haji muassasah kekal membayar RM9,980 bagi musim haji 1441H/2020M daripada kos sebenar haji sebanyak RM22,900.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, baki RM12,920 bagi setiap jemaah akan ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi kesemua 31,600 orang, menjadikan kos keseluruhan ditanggung TH sebanyak RM408.2 juta.

"Ini tidak termasuk kos-kos lain yang ditanggung TH seperti penganjuran kursus haji perdana sebanyak kira-kira RM70 juta.

"Jemaah haji muassasah kekal bayar RM9,980 seperti mana 10 tahun lepas. Kalau kita bandingkan pada 2009, kos sebenar haji hanya kira-kira RM12,000 dan ia meningkat setiap tahun," katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Residensi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini.

Mengulas desakan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam TH, Mujahid berkata, RCI sepatutnya ditubuhkan bagi menyelesaikan isu-isu yang dianggap 'misteri'.

ARTIKEL BERKAITAN: Mujahid dicabar gesa kerajaan tubuh RCI siasat skandal TH

Berlainan dengan isu-isu berkaitan TH, beliau berkata, ia telah dikenal pasti selepas audit dilakukan oleh PriceWaterHousecoopers, malah laporan polis mengenainya telah dibuat dan kes kini dalam siasatan polis.

Mengenai Residensi MAIWP, Mujahid berkata, pembinaannya dijadual bermula pada hujung tahun ini selepas proses tender selesai.

Artikel Berkaitan:

Mujahid (dua dari kanan) melihat pelan pembangunan Residensi MAIWP. - Foto Bernama
Mujahid (dua dari kanan) melihat pelan pembangunan Residensi MAIWP. - Foto Bernama

Pangsapuri dengan 360 unit berkenaan dicadang dibina di atas tanah milik MAIWP di Taman Pelangi Jaya, Gombak. Berkeluasan 83.6 meter persegi, setiap unit tiga bilik tidur itu dicadang dijual di bawah harga RM300,000 dengan keutamaan diberikan kepada golongan B40, asnaf dan warga MAIWP sendiri yang berpendapatan rendah.

"Setelah buat tender dan sebagainya, bolehlah kita lihat projek ini bermula dengan harapan kita dapat menyumbang kepada dasar rumah mampu milik yang hari ini kerajaan sedang cuba habis-habisan untuk memenuhi kuota satu juta perumahan untuk rakyat yang merupakan projek penting bagi menyediakan kehidupan selesa kepada rakyat.

"Sebenarnya kita ada tanah-tanah lain yang sedang juga dilihat. Kita sedang perhatikan dan kita jangka banyak lagi tanah-tanah MAIWP ini akan dibangunkan," katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 berjanji menyediakan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun pemerintahannya. - Bernama