Penumpang di Terminal Feri Antarabangsa Kukup disaring

Penumpang feri menjalani pemeriksaan suhu badan di Terminal Feri Antarabangsa Kukup.
Penumpang feri menjalani pemeriksaan suhu badan di Terminal Feri Antarabangsa Kukup.
A
A
A

PONTIAN - Jabatan Kesihatan Johor menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Pontian melaksanakan saringan kesihatan kepada semua penumpang di Terminal Feri Antarabangsa Kukup bagi mencegah penularan wabak koronavirus.

Pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan berkata, sesi penerangan mengenai langkah mencegah penyebaran koronovirus turut diberikan kepada kakitangan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) yang mengendalikan operasi di Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Jabatan Laut dan agensi lain berkaitan.

Menurutnya, Terminal Feri Antarabangsa Kukup adalah pintu masuk laluan laut yang utama di negeri ini dengan menghubungkan Tanjung Balai Indonesia.

"Difahamkan terdapat lima slot perjalanan feri yang membawa penumpang masuk ke jeti setiap hari.

"Justeru itu, Pejabat Kesihatan Daerah Pontian menempatkan anggotanya pada setiap masa untuk melakukan saringan ke atas penumpang feri," katanya di sini hari ini.

Katanya, penumpang yang dikesan mempunyai suhu 38 darjah Celsius akan diasingkan, diperiksa dan kemudiannya dirujuk ke hospital.

"Langkah ini turut membolehkan mana-mana individu yang menunjukkan simptom terbabit untuk segera mendapatkan rawatan dan ujian klinikal," katanya.

Artikel Berkaitan: