Penjaga stor tak mengaku sokong LTTE

Seorang penjaga stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, Januari tahun lepas. - Foto Bernama
Seorang penjaga stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, Januari tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penjaga stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Januari tahun lepas.

S Thanagaraj, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Lelaki itu didakwa memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan Facebook atas nama ‘Tamilarasan Sivam’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sini pada 10 pagi, 11 Januari 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21, 22, 23, 28 dan 29 September ini untuk perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Shahruddin manakala tertuduh diwakili peguam R T Rajasekaran.

Mahkamah juga menetapkan 28 Februari untuk sebutan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaren.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes LTTE: Gunasekaran minta bicara terhadap satu lagi tuduhan

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman memberitahu bahawa pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pihak pembelaan bagi tujuan perbicaraan.

Pada 9 Januari lepas, Gunasekaren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama Taman Ayer Keroh Heights, Melaka Tengah, Melaka, pada 8.30 malam 28 November 2018.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan. - Bernama