Topik Dajal bakal dikupas dalam rancangan Al-Qariah pada malam ini

USTAZ BADLI SHAH (kiri) dan Ustaz Sukki bakal memperincikan tentang topik kemunculan Dajal al-masih menerusi rancangan Al-Qariah di TV Alhijrah pada jam 7.30 malam ini.
USTAZ BADLI SHAH (kiri) dan Ustaz Sukki bakal memperincikan tentang topik kemunculan Dajal al-masih menerusi rancangan Al-Qariah di TV Alhijrah pada jam 7.30 malam ini.
A
A
A

PROGRAM bual bicara Al-Qariah yang bersiaran di stesen TV Alhijrah bakal memperincikan tentang topik penting berkenaan tanda besar hari kiamat iaitu kemunculan Dajal al-masih pada malam ini yang memasuki episod 5.

Umat Islam mengetahui bahawa Dajal bakal menjajah dunia dan pemikiran manusia pada satu hari nanti. Bilakah hari dan masanya, semuanya rahsia ALLAH SWT.

Bagaimanapun, cerita tentang Dajal banyak bercampur dengan sumber yang tidak diketahui sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan Muslim yang mahu mempelajari tentangnya.

Justeru, Bahagian Kandungan TV Alhijrah dalam satu kenyataan kepada Sinar Islam berkata, topik berkenaan akan dikupas lanjut oleh dua panel terkemuka, Datuk Badli Shah Alaudin dan Dr Sukki Othman pada 7.30 malam ini menerusi program yang semakin mendapat perhatian ramai, Al-Qariah.

Sebenarnya, persoalan tentang kewujudan Dajal memang terbukti ada. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah RA menceritakan tentang doa yang diamalkan oleh baginda setiap hari selepas solat.

Doa dimaksudkan adalah: "Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung pada-MU daripada azab kubur, aku berlindung pada-MU daripada buruknya fitnah al-masih al-Dajal, daripada fitnah hidup dan mati. Ya ALLAH, aku berlindung pada-MU daripada dosa serta hutang yang sukar untuk dibayar."

"Hadis itu secara jelas memberi kita bukti untuk tidak lagi menyangkal kewujudan Dajal al-masih. Perkataan Dajal itu sendiri sebenarnya membawa makna ‘menutupi’ atau ‘melindungi’ dari segi bahasa. Jadi, perumpamaan Dajal jika dijadikan frasa penuh membawa maksud ‘seorang yang menutupi atau melindungi kebenaran dan kebatilan’.

"Kebolehan utama Dajal adalah mencantikkan perkara elok supaya manusia tertarik kepadanya dan menggunakan tipu dayanya.

Artikel Berkaitan:

"Sifat manusianya pula agak unik kerana ada tanda-tanda tertentu yang hanya dimiliki oleh Dajal pada tubuh badannya. Dajal dikatakan mempunyai tiga huruf yang berbentuk perkataan kafir di antara dua matanya dan semua manusia Mukmin akan mampu membaca huruf tersebut walaupun dia seorang yang buta huruf.

"Rambutnya dikhabarkan kerinting dan kasar. Matanya pula buta di sebelah kanan dan bukannya hanya bermata satu sepertimana yang sering disebarkan selama ini," jelas kenyataan berkenaan sambil menambah, makhluk itu dikatakan boleh menyerupai seorang manusia berdasarkan hadis-hadis yang sahih.

Kemunculan Dajal juga akan memperdaya manusia sehingga ramai yang terpesong dan terpengaruh dengan dakyahnya. Bahkan, sebahagian manusia terpedaya dengan menganggapnya Tuhan.

Untuk kupasan lanjut mengenai Dajal, jangan lupa saksikan menerusi rancangan Al-Qariah di TV Alhijrah.

Program yang bermula 3 Januari lalu membicarakan tentang tanda-tanda besar hari kiamat selama 16 episod sehingga 17 April 2020.

Selepas menonton rancangan berkenaan, usah lepaskan peluang untuk menyertai kuiz dan memenangi hadiah menarik yang ditawarkan pihak penganjur.

Caranya mudah sahaja iaitu dengan mengumpulkan soalan yang disiarkan pada setiap penghujung rancangan dalam setiap episod.

Jawapan daripada 16 episod itu kemudian dihantar kepada pihak penganjur beserta dengan butiran lanjut.