Lokasi tetap sisa Lynas boleh jejas sumber air: Fuziah

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Projek pembinaan tapak kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa Water Leached Purification (WLP) Lynas Corporation yang diluluskan di Bukit Ketam dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti air yang digunakan hampir 600,000 penduduk di daerah ini.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, keputusan kerajaan Pahang yang bersetuju dengan tapak tersebut mengecewakan pihaknya.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang keputusan sepatutnya perlu melalui Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA), apatah lagi kedudukannya berhampiran Felda Bukit Kuantan.

"Felda Bukit Kuantan ialah kawasan tadahan air untuk Sungai Kuantan dan titik pengambilan air untuk loji rawatan Semambu yang terletak di hilir Sungai Kuantan. Loji itu memproses air minuman untuk 600,000 penduduk Kuantan.

"Saya ingin mengingatkan Lynas, perkara ini perlu Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA). Dahulu Lynas pernah mendakwa mereka memperoleh kelulusan SIRIM (Institut Penyelidikan Standard Dan Industri Malaysia) untuk condisoil (produk perapi tanah), namun itu ternyata tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Semalam, pelombong nadir bumi Lynas Corporation mengesahkan kerajaan Pahang meluluskan pembinaan tapak pelupusan sisa operasi pengeluarannya di kawasan terpencil di Bukit Ketam, Pahang.

Syarikat itu berkata, tapak tersebut akan digunakan untuk melupuskan sisa WLP berdasarkan prosedur awal yang dijalankan pihaknya dan para perunding serta menjangkakan tapak itu sesuai sebagai lokasi PDF.

Selain kedudukannya berhampiran dengan Felda Bukit Kuantan, ia turut bersempadan dengan Terengganu dan terletak kira kira 30 kilometer ke arah utara.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pengumuman berhubung kelulusan tapak tersebut dibuat susulan keputusan kontroversi Kabinet tahun lepas untuk membolehkan Lynas Malaysia meneroka PDF sebagaimana diumumkan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak boleh memaksa Lynas meninggalkan Malaysia selepas mengundangnya untuk melabur di negara ini hanya kerana sesetengah orang tidak mahu menerima kajian pakar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak boleh halau Lynas, pelabur asing perhati: Dr Mahathir