Peruntukan pasak undang-undang jenayah syariah

A
A

SERING kali desakan dibuat oleh beberapa pihak bagi mengkaji semula Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah dalam maksud memansuhkannya agar membolehkan semua rakyat Malaysia dikawal oleh Kanun Keseksaan iaitu undang-undang Persekutuan.

Desakan sebegini bukanlah baharu, malah telah berulang kali diutarakan oleh pihak tertentu. Walaupun telah diberi penerangan yang jelas berkaitan kedudukan undang-undang jenayah syariah ini dalam negara kita, mereka masih tegas memperjuangkan matlamat mereka ini dan menolak sebarang penjelasan.

Sebenarnya di Malaysia undang-undang jenayah syariah telah wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Malah pada zaman sebelum penjajah lagi ia telah wujud begitulah juga pada zaman penjajah sehingga ke hari ini.

Hakikatnya, kedatangan Islam ke Nusantara tidak membatalkan segala bentuk kebudayaan dan tamadun lama, tetapi hanya meminda dan mengubahsuai serta memperbaiki mana-mana yang perlu supaya ia berpadanan dengan Islam dan selari dengan hukum syarak. Naratif ini amatlah penting kerana perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam adalah tertolak.

Undang-undang lama seperti Kanun Melaka dan Undang-Undang 99 Perak malah tulisan di Batu Bersurat Trengganu adalah manifestasi aplikasi undang-undang jenayah syariah telah lama mendapat tempat di bumi Nusantara. Tidak keterlaluan jika dikatakan Raja-Raja Melayu dahulu juga adalah ilmuwan Islam dan sentiasa berjuang mendalami ilmu agama serta mengaplikasikannya.

Sebahagian daripada kesalahan-kesalahan jenayah syariah itu sebenarnya sudah pun wujud sebelum kemerdekaan lagi. Umpamanya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 telah pun memperuntukkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum. Malah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan Perlembagaan adalah undang-undang utama dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka adalah terbatal jika bertentangan dengan Perlembagaan. Oleh yang demikian, sekiranya pun undang-undang jenayah syariah itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ia tidak terbatal kerana undang-undang tersebut telah pun wujud sebelum Hari Merdeka lagi.

Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri mewujudkan kesalahan dan hukuman yang melanggar perintah agama Islam. Oleh itu tidaklah terdapat percanggahan kerana punca kuasanya sendiri berakar umbi dari Perlembagaan Persekutuan sendiri. Peruntukan pasak ini kekal dan tidak boleh dimansuhkan.

Mahkamah Persekutuan di dalam kes Sulaiman Takrib lwn Kerajaan Negeri Terengganu telah memutuskan antara lainnya kesalahan jenayah syariah yang ada di dalam Enakmen Jenayah Syariah Terengganu adalah berperlembagaan dan sah di kaca mata perlembagaan itu sendiri. Mengapakah keputusan Mahkamah Persekutuan ini tidak dijadikan autoriti oleh pihak yang mahu menghapuskan undang-undang jenayah syariah?

Penulis tidak nampak dari sudut manakah kesalahan jenayah syariah itu melanggar Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi jika dikaji dari sudut agama juga, sudah tentu kita akan mendapati ia amat bersesuaian dengan apa yang dianjurkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Tambahan pula para ulama juga telah menjelaskan isu ini dengan terperinci.

Isu kerajaan tidak sepatutnya menjadi polis moral juga tidak boleh diterima kerana kerajaan bertanggungjawab mengawal tata atur masyarakat menjamin ahli masyarakat hidup dalam aman dan damai. Undang-undang kesalahan jenayah syariah yang hendak dimansuhkan itu sebenarnya terdiri daripada beberapa bahagian yang mengandungi kesalahan-kesalahan yang amat terhad iaitu kesalahan berhubungan dengan aqidah (Bahagian II), Kesalahan berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya (Bahagian III), Kesalahan berhubungan dengan kesusilaan (Bahagian IV) dan Kesalahan pelbagai (Bahagian V).

Meneliti senarai di atas, sudah pasti kita akan mendapati bahawa undang-undang tersebut amat perlu bagi menjaga maslahat umat Islam di negara kita. Tidak timbul isu bahawa kerajaan mengganggu kebebasan rakyat kerana kesalahan tersebut memang jelas bertentangan dengan kehendak Islam.

Undang-undang jenayah sivil pun pada awalnya adalah berteraskan kepada undang-undang moral. Umpamanya mencuri dilihat sebagai suatu perbuatan yang tidak bermoral kerana ia akan mengakibatkan kezaliman dan kegagalan menjamin hak rakyat menggunakan harta. Oleh hal yang demikian suatu undang-undang digubal bagi menangani gejala ini dan dijadikan suatu kesalahan. Kodifikasi undang-undang dirangka dan dibentuk di dalam suatu akta.

Sekiranya kita tidak mahu mencampuri urusan moral maka terpaksalah kita mengkaji semula undang-undang kesalahan jenayah yang sedang berkuat kuasa dan sudah tentulah ia akan merobek keutuhan masyarakat kita yang telah jelas susun aturnya.

Sebagai sebuah masyarakat yang begitu luhur adab sopannya dan begitu mendalam agamanya sudah semestinyalah persoalan moral ini amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu Islam.

Sebagaimana Zaaba juga pernah menceritakan perihal orang Melayu iaitu “semenjak orang Melayu memeluk agama Islam sehingga ke hari ini, mereka amat setia dan amat keras pegangannya pada agama yang mereka anuti ini. Walaupun mereka jahil banyak dari segi pengamalan dan kefahaman agama, namun mereka tetap menganggap bahawa itulah satu-satunya agama yang terbaik dan benar, dan tidak ada apa pun hujah ataupun pujukan dari orang kafir yang boleh mengubah sikap mereka yang demikian itu.”

Oleh yang demikian sebarang usaha untuk memansuhkan enakmen jenayah syariah ini tidak langsung dapat diterima oleh orang Islam arus perdana. Golongan liberal yang memperjuangkan isu serta pemimpin negara hendaklah menghormati kedudukan dan sensitiviti masyarakat Islam arus perdana ini.

Malaysia bukan tiba-tiba muncul pada tarikh kemerdekaan negara. Susun atur yang ada beratus tahun sebelum merdeka telah menjana kedudukan agama Islam yang istimewa di negara kita termasuklah undang-undang jenayah syariah. Memansuhkan undang-undang jenayah syariah yang telah merentasi masa yang panjang ini akan hanya membawa implikasi yang serius dan menafikan hak orang Islam untuk mengamalkan agamanya sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia