Cuaca panas: Pengusaha harumanis resah, tanaman terjejas

Tengku Mahmud menunjukkan tanaman harumanis di ladangnya semalam.
Tengku Mahmud menunjukkan tanaman harumanis di ladangnya semalam.
A
A
A

KANGAR - Rata-rata pengusaha tanaman harumanis di negeri ini resah apabila cuaca panas yang berterusan hampir dua bulan menyebabkan tanaman mereka terjejas.

Pengusaha harumanis dari Kampung Belukar, Tengku Mahmud Tengku Hussain berkata, pokok harumanis yang sudah berbunga memerlukan bekalan air untuk menghasilkan buah yang banyak.

Katanya, bekalan air yang tidak mencukupi membuatkan bunga menjadi kering dan putik yang keluar menjadi kecut serta tidak mempunyai isi.

"Pada musim ini, kebanyakan pengusaha tanaman harumanis terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk menggali telaga bagi mendapatkan sumber bekalan air yang mencukupi," katanya ketika ditemui.

Tengku Mahmud
Tengku Mahmud

Tengku Mahmud berkata, bekalan air di kebunnya telah kering dan dia terpaksa mendapatkan bekalan air daripada sumber lain.

"Musim lepas kita tidak perlu menyiram pokok dengan kerap kerana cuaca tak panas, tetapi pada kali ini siraman ke atas pokok perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari," katanya.

Mengakui masalah sama, pengusaha tanaman harumanis dari Kampung Simpang Geti, Zainol Abidin Ahmad, 65, berkata, musim panas pada tahun ini mengulangi keadaan pada tahun 2016 di mana hasil pengeluaran harumanis menurun 60 peratus berikutan kemarau yang berpanjangan.

Artikel Berkaitan:

Zainol menunjukkan bekalan air telaga yang digunakan sebagai sumber air di ladangnya.
Zainol menunjukkan bekalan air telaga yang digunakan sebagai sumber air di ladangnya.

“Sebenarnya tanaman harumanis memerlukan cuaca yang panas untuk mengeluarkan bunga selain bekalan air yang mencukupi untuk memastikan bunga berkenaan menjadi buah yang matang," katanya.

Katanya, sekiranya hasil pengeluaran harumanis menurun, dia menjangkakan harga buah berkenaan mampu mencecah sehingga RM45 sekilogram pada musim ini.

Terdahulu, pada tahun 2016, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengumumkan pengeluaran tanaman harumanis menurun 60 peratus akibat cuaca panas.

Berikutan itu, buah berkenaan tidak dieksport ke Jepun dan hanya menampung permintaan dalam negara.

Zainol
Zainol