‘Saya ingat bersara di MBSA rupa-rupanya...’

Ahmad Zaharin (duduk, tengah) diraikan kira-kira 500 kakitangan MBSA dalam Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi bersama Mantan Datuk Bandar Shah Alam, petang semalam.
Ahmad Zaharin (duduk, tengah) diraikan kira-kira 500 kakitangan MBSA dalam Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi bersama Mantan Datuk Bandar Shah Alam, petang semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - “Saya ingat bersara di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) rupa-rupanya berpindah ke agensi lain,” kata bekas Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Ahmad Zaharin berkata, dua minggu lalu beliau menerima surat menyambung kontrak khidmatnya sebagai Datuk Bandar Shah Alam hingga Januari 2021.

Katanya, beliau gembira dengan perkara itu hinggalah menerima surat dipindahkan ke Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah berkuatkuasa 7 Januari lalu.

“Dua minggu lalu saya dapat surat sambung kontrak sebagai Datuk Bandar untuk tempoh dua tahun lagi, lepas dua minggu saya terima surat ‘pembatalan’ lanjutan kontrak dan diarah berpindah ke tempat lain.

“Memang saya rasa akan bersara di MBSA tapi seperti kata Ketua Ahli Majlis, Kamarudzaman Sanusi kalau tertulis di Luh Mahfuz, saya kena keluar dari MBSA juga walau dah dapat surat sambung kontrak dua tahun lagi. Surat sambung kontrak terbatal sebab ada ‘surat’ lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diraikan kira-kira 500 kakitangan MBSA dalam Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi bersama Mantan Datuk Bandar Shah Alam, petang semalam.

Ahmad Zaharin berkhidmat di MBSA selama empat tahun sejak 2 Januari 2015.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Pengurusan) Universiri Sains Malaysia (USM) mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan dan pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); Pegawai Daerah di Pejabat Daerah Hulu Selangor dan Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

MBSA mencapai pelbagai kejayaan di bawah pentadbiran Ahmad Zaharin termasuk menerima lima anugerah melalui Malaysian Institute of Planners Planning Excellence Awards (Mippea) 2018; Anugerah Pembangunan Komuniti Sejahtera; tempat pertama Anugerah Sumber Manusia dan Anugerah Diamond Recognition

Ahmad Zaharin berkata, beliau belum puas berkhidmat di MBSA dan banyak kenangan manis ketika menerajui majlis bandaraya itu.

“Memang tak puas lagi berkhidmat di MBSA sebab banyak lagi perkara saya nak buat, bila dapat surat pindah saya rasa segala-galanya ‘musnah’ tapi tak apa mungkin tak tercapai zaman saya mungkin dapat diteruskan zaman datuk bandar dan timbalan yang baharu.

“Harapan saya supaya MBSA ada kompleks sukan sendiri nanti dan harap lepas ini dapat lihat kejayaan walaupun saya berada jauh dari Shah Alam,” katanya.