Dua beradik hanyut di laut ditemui selamat

Dua beradik ditemui selamat selepas hampir 24 jam hanyut di laut selepas bot mereka kehabisan minyak semalam. Foto: Maritim Perak
Dua beradik ditemui selamat selepas hampir 24 jam hanyut di laut selepas bot mereka kehabisan minyak semalam. Foto: Maritim Perak
A
A
A

LUMUT - Dua beradik yang dilaporkan hanyut selepas bot mereka kehabisan minyak sejak semalam, akhirnya ditemui selamat di perairan Bagan Panchor, Pantai Remis kira-kira jam 6.50 petang hari ini.

Muhammad Farikh Daud, 31, dan adiknya, Muhammad Afendi, 29, ditemui oleh nelayan lain selepas hampir 24 jam hanyut.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang merupakan nelayan menyedari telah kehabisan minyak pada jam 5 petang sekitar Pulau Pasir Hitam, Trong, Taiping.

Kehilangan kedua-dua mangsa disedari oleh rakan mereka sebelum menghubungi pihak berkuasa selepas gagal dihubungi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Shahrizan Raman berkata, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan meliputi kawasan seluas 115 batu nautika.

“Dengan keupayaan dua aset APMM iaitu Kapal Maritim Malawali dan Bot Penggalang 13. Operasi turut disertai pasukan Polis Marin serta bot-bot nelayan tempatan sekitar kawasan tersebut.

“Selain itu, pasukan Bomba dan Penyelamat turut melaksanakan carian di kawasan pesisir pantai sekitar Pulau Talang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat kedua-dua mangsa berjaya ditemui oleh sekumpulan nelayan pada jam 6.50 petang.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa kemudian dibawa ke jeti Bagan Panchor untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan,” katanya.