Koronavirus: 18 berita palsu berjaya ditangkis

Gobind Singh Deo - Foto Bernama
Gobind Singh Deo - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sehingga semalam, 18 berita palsu berkaitan jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) telah ditangkis dan diperjelaskan di portal 'Sebenarnya.my', kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata portal itu adalah pusat sehenti bagi rakyat untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi mana-mana berita yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang dan lain-lain.

“Rakyat kini boleh mendapatkan maklumat mengenai koronavirus secara terus di bawah kategori ‘Coronavirus 2019 N-Cov’ di portal itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana telah mengemas kini portal 'Sebenarnya.my' dengan maklumat yang sahih mengenai 2019-nCov dan menangkis berita-berita palsu yang di internet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Gobind berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan juga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan bahawa maklumat terkini dan juga maklumat berkenaan keadah-kaedah pencegahan wabak ini disalurkan kepada masyarakat.

“Ini penting untuk memastikan bahawa rakyat memahami dengan lebih mendalam mengenai wabak ini dan juga langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengawal dan mencegah penyebaran wabak ini.

“Setakat 29 Jan, banyak maklumat dalam bentuk berita, video dan infografik telah disalurkan kepada rakyat. RTM telah menyiarkan 11 slot talkshow dan lebih 234 segmen berita di saluran-saluran TV dan radio,” katanya.

Beliau berkata RTM juga telah mengeluarkan 11 infografik dan kapsul mengenai 2019-nCov, cara pengawalan dan pencegahan, status terkini serta tindakan penguatkuasaan yang dihebahkan melalui TV dan media sosial RTM.

Artikel Berkaitan:

“Bernama pula telah menghasilkan 149 buah artikel berita, 42 slot berita TV dalam empat bahasa, enam video pendek serta 30 infografik dalam tujuh bahasa termasuk Bahasa Iban dan Kadazandusun, setakat semalam,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerani bank ditahan sebar berita palsu koronavirus

Gobind berkata selain daripada saluran berita dan platform media sosial, KKMM melalui JaPen telah membuat program-program hebahan di kawasan awam melalui program ‘Info on Wheels’ (IOW).

“Setakat semalam, 180 program IOW telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara, iaitu empat program di setiap negeri setiap hari secara purata. Program yang dijalankan oleh Unit Hebahan Bergerak JaPen, adalah untuk menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan secara bersemuka kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Melalui program ini, orang ramai boleh mendapat pemahaman yang lebih baik kerana mereka boleh mendapatkan pencerahan secara langsung daripada pasukan unit hebahan itu jika ada keraguan atau ketidakpastian,” kata Gobind.

Katanya beliau telah melawat Pulau Pinang hari ini untuk memantau usaha-usaha kerajaan menerangkan langkah-langkah mengatasi jangkitan koronavirus melalui JaPen.

“Saya berharap kesemua agensi di bawah KKMM, akan meneruskan usahasama yang kukuh ini dalam menyampaikan maklumat yang benar dan tepat kepada rakyat. Saya juga berharap bahawa dengan adanya portal ini serta agensi-agensi berita rasmi, kita dapat mengawal atau mengurangkan gejala penularan berita palsu dalam talian yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara,” katanya.- Bernama