183 kematian dalam tempoh 12 hari Op Selamat 16

Azisman
Azisman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 183 kematian direkodkan sepanjang 12 hari Op Selamat 16/2020 sempena Tahun Baharu Cina bermula 18 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, jumlah kematian tertinggi iaitu 119 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

"Selangor mendahului statistik dengan 30 kematian, diikuti Johor (27), Sarawak (18), Pahang serta Kelantan, masing-masing 17 kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azisman berkata, sebanyak 18,830 kes kemalangan jalan raya direkodkan membabitkan 27,627 kenderaan.

“Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 5,302 kes, diikuti Johor (2,944), Kuala Lumpur (2,095) dan Perak (1,584),” katanya.

Sepanjang tempoh itu juga, katanya, sebanyak 313,936 saman dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 197,454 saman atau 62.9 peratus membabitkan enam kesalahan utama.

Enam kesalahan utama itu adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan ‘Q’ dan memotong di garisan berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Februari ini.

Artikel Berkaitan: