Ibrahim Ali bidas Kelantan beli kereta Mercedes

Ibrahim Ali
Ibrahim Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyelar kerajaan Pas Kelantan yang membeli kereta mewah bagi kegunaan menteri besar dan exco ketika rakyat negeri itu masih lagi dihimpit kemiskinan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Pas sebagai parti Islam sepatutnya mengurus tadbir secara Islam seperti mana dilaungkan mereka sebelum ini.

Menurutnya, sebagai anak jati Kelantan, beliau terkejut kerana kerajaan negeri sanggup menukar kereta mewah jenis Mercedes-Benz sehingga mencecah hampir RM9 juta.

"Saya terkejut bukan kerana mereka beli kereta, tetapi saya terkejut mereka beli Mercedes dalam keadaan Kelantan masih lagi miskin.

"Tak salah tukar kereta menteri besar, tapi kalau masih boleh berjalan apa salahnya, kalau kita benar-benar pemimpin Islam.

"Tak boleh ke beli kereta berharga sekitar RM200,000 tak payah besar-besar sampai RM600,000. Besar sangatkan Kota Bharu?" katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 24 Januari lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri menggunakan kereta jenis Mercedes-Benz sebagai kenderaan rasmi atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, penggunaan kenderaan rasmi untuk menteri besar itu telah dimulakan sejak era pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Mercedes, rakyat persoal Exco Kelantan dapat RM50,000

Ibrahim berkata, kemungkinan pembelian kenderaan itu ada agenda tertentu bagi membolehkan exco Kelantan dapat membelinya dengan harga murah memandangkan tempoh pentadbiran kerajaan negeri hanya tinggal tiga tahun.

"Bila kereta hendak dilupus oleh kerajaan negeri, maka ia dapatlah dibeli dengan harga yang murah, dengan harga token," katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, beliau turut terkejut dengan keputusan kerajaan Kelantan meluluskan peruntukan RM50,000 kepada exco.

Meskipun mereka mendakwa duit itu akan kembali kepada rakyat, Ibrahim mempersoalkan kenapa ia tidak disalurkan terus melalui wakil rakyat.

"Lagi memeranjatkan saya, Exco meluluskan peruntukan untuk exco. Jangan perbodohkan kita, kalau betul nak salurkan kepada rakyat, kenapa tidak melalui wakil rakyat," katanya.