Pelancong asing bebas kunjungi masjid: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A
KUALA LUMPUR - Saringan kesihatan yang diperkenalkan membolehkan pelancong asing bukan Islam bebas menziarahi masjid di negara ini termasuk Masjid Putra di Putrajaya yang kembali dibuka kelmarin selepas ditutup ekoran kebimbangan jangkitan wabak koronavirus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, mekanisme itu diwujudkan bagi mengesan secara rambang pelawat yang dijangkiti virus terbabit.

"Dengan adanya mekanisme itu maka saya harapkan ia tidak menghalang pelancong asing untuk menziarahi masjid-masjid kita yang indah termasuk Masjid Putra selagi perkara itu dapat dikawal dan tidak membahayakan orang.

"Setakat ini saya juga tidak dengar lagi jika ada masjid lain ditutup (ekoran wabak koronavirus) sebab kita dah keluarkan satu keputusan (mekanisme)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran buku 'Crime and Punishment in Islmic Law: A Fresh Interpretation' karya Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Prof Mohammad Hashim Kamali di IAIS di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan CEO IAIS, Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, bagaimanapun sesuatu keputusan yang dibuat sama ada mahu membuka atau menutup sesebuah masjid dari kemasukan pelawat asing di peringkat negeri bukan di bawah bidang kuasanya.

Pada 26 Januari lalu, media melaporkan Masjid Putra hanya akan dibuka kepada pelawat beragama Islam untuk menunaikan sembahyang dan ditutup kepada pelancong asing.

Bagaimanapun, dua hari kemudiannya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan penutupan berkenaan.
Artikel Berkaitan:


Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penutupan masjid atau muzium untuk pelancong bukan Islam bukanlah dasar kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN Bukan dasar kerajaan halang pelancong kunjungi masjid: Tun M