Teresa bentang hala tuju sawit di Eropah minggu depan

Menteri Industri Utama Teresa Kok bergambar bersama pekebun-pekebun kecil pada Majlis Taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Johor di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya Kota Tinggi hari ini. -fotoBERNAMA
Menteri Industri Utama Teresa Kok bergambar bersama pekebun-pekebun kecil pada Majlis Taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Johor di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya Kota Tinggi hari ini. -fotoBERNAMA
A
A
A

KOTA TINGGI - Satu pembentangan mengenai hala tuju industri sawit Malaysia bakal diadakan di beberapa negara Eropah pada minggu hadapan dalam usaha kerajaan menangani kempen anti-sawit yang meluas di sana.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, dalam siri lawatan itu, beliau akan menerangkan lebih lanjut mengenai empat dasar industri sawit negara kepada wakil kerajaan di sana.

Menurutnya, lawatan selama seminggu bermula minggu hadapan itu melibatkan United Kingdom, Sepanyol, Belanda dan Belgium.

"Saya juga akan menyampaikan pendirian Malaysia yang amat menitikberatkan usaha penjagaan alam sekitar seperti menanam semula pokok jenis hutan dan penjagaan haiwan liar.

"Saya juga akan menyatakan bahawa pengusaha sawit Malaysia sangat prihatin terhadap alam sekitar termasuk penjagaan binatang liar," katanya kepada pemberita selepas taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Penanaman Sawit Johor di Dewan Serbaguna, Taman Kota Jaya dekat sini hari ini.

Beliau berkata, empat dasar hala tuju baharu yang akan dibentangkan termasuk menghadkan keluasan penanaman kelapa sawit seluruh negara dengan penetapan sasaran 6.5 juta hektar dan juga larangan penanaman baharu kelapa sawit di atas kawasan baharu tanah gambut.

"Selain itu adalah larangan penukaran guna tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi aktiviti penanaman sawit atau tanaman pertanian lain dan yang terakhir adalah penyediaan peta rasmi bagi kawasan sawit untuk capaian umum,” kata Teresa .

Menyentuh mengenai MSPO, Teresa berkata, sehingga hari ini, sebanyak 64.1 peratus daripada 5.85 juta hektar keseluruhan tanaman sawit di negara ini telah menerima pensijilan MSPO.

Artikel Berkaitan:

Daripada seluas 3.74 juta hektar tanah yang menerima pensijilan itu, 3.04 juta hektar merupakan kawasan estet, sejumlah 505,382 hektar adalah kawasan pekebun kecil tersusun dan 98,637 hektar bagi pekebun kecil persendirian (PKP).

"Jumlah peratusan di kalangan pekebun kecil persendirian di seluruh Malaysia yang menerima pensijilan MSPO masih rendah iaitu hanya 10.1 peratus sahaja.

"Kalau pekebun kecil tidak mendapat pensijilan MSPO ini, mereka akan rugi pada masa hadapan jadi menerusi dialog hari ini, saya berharap segala maklumat dapat disampaikan kepada kesemua pekebun kecil dan diharapkan mereka segera mendapatkan pensijilan ini," katanya.

Beliau berkata, Johor berada di tangga kesembilan di negara ini dengan 418.541 hektar telah dipersijilkan MSPO dari 747.562 hektar jumlah keseluruhan kawasan tanaman sawit di Johor.

Pensijilan MSPO adalah pengiktirafan terhadap kebun dan kilang sawit yang diurus menggunakan amalan pertanian baik yang mematuhi usaha menjaga alam sekitar.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama Rosleli Jahari. - Bernama