Wanita dalam pantang ikat perut demi keluarga

Rosmini bersama tujuh anaknya yang masih kecil dan perlukan perhatian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Pauh, Gual Ipoh.
Rosmini bersama tujuh anaknya yang masih kecil dan perlukan perhatian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Pauh, Gual Ipoh.
A
A
A

TANAH MERAH - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, begitulah nasib keluarga daif sembilan beranak di Kampung Bukit Pauh, Gual Ipoh di sini yang hidup dalam serba kekurangan.

Ketua keluarganya, Roslan Kori, 38, menghidapi ketumbuhan dalam perut dan tidak dapat melakukan pekerjaan seperti biasa kerana penyakitnya itu manakala anak bongsu yang baru 20 hari mengalami masalah jantung berlubang dan perlukan rawatan susulan.

Isteri Roslan, Wan Rosmini Mat Leh, 33, berkata, dia tidak bekerja dan terpaksa menjaga tujuh anaknya di samping anak bongsunya itu.

“Kami tidak punya pendapatan tetap kerana keadaan suami yang sakit dan kerja tidak tetap jadi untuk bantu keluarga saya jual kulat sisir dan siput gondang ditemani anak sulung.

“Tapi sekarang saya tak dapat bekerja kerana baru saja lepas melahirkan anak bongsu. Buat masa ini saya terpaksa mengikat perut dan hanya belanja ikut keperluan memandangkan anak-anak perlu bersekolah dan memerlukan perbelanjaan sampingan,” katanya.

Menurutnya, dia juga terpaksa memasak dan membekalkan anak-anak ke sekolah dengan nasi berlaukkan pucuk paku dan budu setiap hari berikutan tidak mempunyai wang belanja yang mencukupi.

“Saya berharap nasib anak-anak saya akan berubah selepas ini. Walau anak-anak terpaksa jalan kaki ke sekolah setiap hari tapi saya tak sanggup jika mereka ponteng sekolah dan tertinggal dalam pelajaran.

“Biarlah keluarga kami miskin harta sekalipun, tapi pelajaran anak-anak perlu diteruskan demi masa depan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan terhadap keluarga ini boleh buta demikian melalui akaun Agro Tani atas nama Wan Rosmini Mat Leh di no akaun 2006671000190842.