26 individu ditahan bersama barang seludup bernilai RM857,018

Ab Aziz (tengah) memberitahu sejumlah 38 kes membabitkan barangan seludup bernilai RM857,018 diperolehi PGA menerusi Op Wawasan.
Ab Aziz (tengah) memberitahu sejumlah 38 kes membabitkan barangan seludup bernilai RM857,018 diperolehi PGA menerusi Op Wawasan.
A
A
A

TUMPAT - Seramai 26 lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan ditahan bersama pelbagai barangan bernilai RM857,018 oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa sejak dua minggu lalu.

Mereka yang berusia antara 20 hingga 30-an itu ditahan pada Op Wawasan bermula 16 Januari lalu sehingga semalam.

Penolong Pegawai Pemerintahnya, Deputi Superintendan Ab Aziz Che Embong berkata, sepanjang operasi dilakukan, sebanyak 38 kes jenayah antaranya membabitkan dadah, mercun dan bunga api serta melibatkan barangan penyeludupan seperti beras, petrol, diesel, minyak masak dan kontraban.

Ab Aziz
Ab Aziz

Katanya, terbaharu pada jam 3.15 pagi semalam, PGA bersama Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubur menyerbu sebuah stor di tepi Sungai Golok, Kampung Nibong, Simpangan dan merampas saki baki mercun perayaan Tahun Baru Cina bernilai RM74,500.

“Intipan mendapati sekumpulan lelaki leka memunggah kotak-kotak ke dalam dua van jenis Toyota Hiace dan melarikan diri apabila diserbu, namun seorang suspek berusia 36 tahun yang berada di dalam stor berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan di dalam van menjumpai 12 kotak mercun berjenama Happy Boom, Happy Boom Celebration Cake, Happy Boom Pili Cracker dan 11 guni mercun bola,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Jambu di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi penyeludup membawa masuk mercun dari negara jiran menerusi jalan air dengan menggunakan bot di pangkalan haram Sungai Golok dan kemudian dibawa ke stor di tepi sungai sebagai transit.

Artikel Berkaitan:

“Mercun kemudian dipunggah menaiki van untuk diedarkan kepada pembekal kemudian dipasarkan ke pasaran tempatan.

Ab Aziz (empat dari kanan) melihat mercun bola antara yang dirampas dalam Op Wawasan.
Ab Aziz (empat dari kanan) melihat mercun bola antara yang dirampas dalam Op Wawasan.

“Semakan lanjut ke atas satu van yang dirampas mendapati nombor casis dan enjin diganggu serta berkait dengan laporan kecurian di Jelutong, Selangor. Kedua-dua van bernilai RM180,000 dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, jumlah itu menjadikan keseluruhan kenderaan yang dirampas sepanjang operasi sebanyak 19 buah termasuk tujuh kereta, sebuah lori, empat pacuan empat roda, lima van dan dua motosikal dengan nilai RM537,000.

“Op Wawasan berterusan sehingga 16 Februari ini dan PGA mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Sungai Golok bermula di Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan kubur.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (akta 207) dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.