Tukang sapu pukul anak saudara dengan penyapu dijel

Mohd Azree dikenakan hukuman dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah memukul anak saudaranya dengan penyapu
Mohd Azree dikenakan hukuman dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah memukul anak saudaranya dengan penyapu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang sapu dijatuhi hukuman penjara dua minggu di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memukul anak saudaranya dengan sebatang penyapu sehingga cedera.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Mohd Azree Abdullah @ Wahab, 36, dari Kampung Durian Burung di sini mengaku salah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak saudaranya, Borhan Sulaiman, 29, di hadapan sebuah rumah di Lorong Gagak Kampung Durian Burung di sini jam 2.30 petang pada 25 Januari lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nor Nabihah Hanim di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa mangsa sedang berniaga, bapa saudara yang dikenali sebagai Azri (tertuduh) datang dalam keadaan marah sambil menuduh mangsa bersikap kurang ajar.

Kemudian, tertuduh mengambil sebatang penyapu lalu memukul mangsa beberapa kali di kepala dan menumbuk mata anak saudaranya itu sehingga lebam.

Tertuduh bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang sebelum ini pernah membuat laporan polis kerana cuba ditembak dengan senapang angin oleh tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Akibat daripada laporan itu juga, tertuduh dipenjarakan selama enam bulan dan baru dibebaskan dua minggu lalu kerana kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.