Lelaki maut kereta terhumban dalam longkang

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. -Foto: Ihsan Bomba Johor
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan. -Foto: Ihsan Bomba Johor
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam longkang di Bulatan Bukit Indah, Taman Bukit Indah dekat sini kira-kira jam 1.21 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa, Hoo Kee Lim,27, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi bersama seorang wanita berusia 34 tahun dalam perjalanan dari arah Jalan Persiaran Indah menghala ke Jalan Sungai Danga.

"Mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tembok pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam longkang di Bulatan Bukit Indah.

"Akibat kemalangan berkenaan, mangsa yang tersepit mengalami kecederaan parah sebelum disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, penumpang wanita yang mengalami cedera parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Asmiza Zaini berkata, seramai tujuh anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.