Abbas sedia bantah pelan damai AS di mesyuarat PBB

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (tengah).
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (tengah).
A
A
A

NEW YORK - Pegawai Palestin akan berusaha mempengaruhi pembangkang untuk menentang pelan damai kontroversi Presiden Donald Trump pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan datang, lapor agensi berita Anadolu.

Bercakap kepada wartawan di New York pada Rabu, Riyad Mansour berkata, Presiden Palestin Mahmoud Abbas akan berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan yang dijadual diadakan dua minggu lagi.

Menurutnya, Abbas juga akan mengemukakan draf resolusi untuk menentang pelan damai Timur Tengah yang diumum Trump.

Pada Selasa di Washington, Trump bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melancarkan pelan damai Timur Tengah yang dikritik hebat kerana memihak kepada Israel dan seolah-olah memberi harapan satu hari nanti Palestin akan mempunyai negara sendiri yang berdaulat.

Menurut Mansour, pelan damai itu hakikatnya memberi Israel lebih kuasa dan bukan sebenarnya berhasrat untuk mewujudkan keamanan atau keadilan. Ia sebenarnya ramuan untuk menghancurkan hak rakyat Palestin.

"Ia tidak boleh diterima dan mereka ingat rakyat Palestin akan lenyap, yang pasti perkara itu tidak akan terjadi. Mereka ingat rakyat Palestin akan berundur, sudah tentu mereka tidak akan berganjak sama sekali," kata Mansour.

Terdahulu, Jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata, pendirian badan dunia itu berhubung keamanan Israel-Palestin tidak berubah walaupun selepas pengumuman pelan damai dan merujuk kepada resolusi Majlis Keselamatan sebelum ini.

"PBB tetap komited menyokong rakyat Palestin dan Israel untuk menyelesaikan konflik berdasarkan resolusi PBB, undang-undang antarabangsa dan perjanjian dua hala serta merealisasikan wawasan penyelesaian negara Israel dan Palestin," kata Dujarric dalam satu kenyataan. - Bernama

Artikel Berkaitan: