[VIDEO] Bekas juruterbang Nuri menang RM1 juta Cabutan BSN SSP
ALOR SETAR - Seorang bekas juruterbang helikopter Nuri tidak menyangka Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang disimpan secara konsisten sejak 24 tahun lalu melayakkan dia memenangi Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-102.
Mohd Azhar Mohd@Man, 53, berasal dari Guar Chempedak, Yan berkata, ketika mula menyimpan sijil SSP dahulu dia tidak meletak harapan tinggi dalam peraduan tersebut kerana sedar ramai yang turut menyertainya.
"Saya mula menyimpan di BSN sejak zaman bujang lagi. Ketika itu, saya ingat kalau menang kereta pun syukur dah tak terfikir pula nama saya akan dipilih untuk memenangi wang tunai RM1 juta ini," katanya selepas menerima replika cek yang diserahkan oleh Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin di BSN Cawangan Utama Negeri Kedah pada Isnin.
Menurutnya, ketika dimaklumkan memenangi hadiah berkenaan pada minggu lalu dia berasa was-was kerana risau cuba diperdaya sindiket penipuan dalam talian.
"Sebab itu pada awalnya saya tidak rasa teruja sehingga lah dihubungi pegawai daripada Ibu Pejabat BSN dan Alor Setar Isnin lalu baru lah saya percaya," katanya.
Mohd Azhar yang juga bekas Pegawai Pemerintah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, Sarawak berkata, wang RM1 juta yang diterimanya itu akan diberi keutamaan untuk melangsaikan hutang dengan pihak bank.
"Bila usia sudah makin senja saya nak hidup tenang- tenang saja, jadi kebetulan ALLAH bagi rezeki ini saya akan langsaikan hutang yang ada.
"Selain itu, saya juga akan berkongsi dengan anak-anak dan isteri untuk simpanan masa depan mereka selain simpan semula di BSN serta melakukan infak dan wakaf untuk saham akhirat saya," katanya.
Berkongsi dengan lebih lanjut, Mohd Azhar berkata, beliau yakin rezeki durian runtuh yang diterimanya itu adalah ganjaran yang ALLAH SWT berikan selepas dia membantu seorang ustaz sebelum ini.
"Ketika saya yakin telah menang hadiah cabutan itu, saya terus teringatkan ustaz berkenaan. Dia ada meminta tolong saya bayar kepada kontraktor yang membuat pagar sebuah sekolah agama sebanyak RM5,000 kerana individu yang mahu wakafkan pagar itu baru meninggal dunia.
"Baki akaun saya ketika itu cuma ada RM1,000, tanpa berfikir panjang saya terus buat pindahan akaun untuk bayar duit berkenaan.
"Kemudian baki lagi RM4,000 saya beritahu ustaz itu akan bayar kemudian, tak sangka mungkin kerana asbab saya wakaf RM1,000 tempoh hari, hari ini ALLAH gandakan jadi RM1 juta," katanya.
Mohd Azhar yang kini bertugas secara kontrak sebagai jurulatih simulator helikopter di Kolej Tentera Udara Kepala Batas di sini berkata, dia sangat berharap orang ramai tidak berputus asa untuk menyimpan wang di BSN SSP.
"Cuma nasihat saya kepada penyimpan agar terus konsisten, selain itu sebagai orang Islam, bersedekah adalah amalan yang baik untuk menjemput rezeki.
"Dalam masa yang sama kita perlu bersangka baik dengan ALLAH, buat solat sunat duha, bukan untuk rezeki saja tapi untuk ALLAH mudahkan urusan kita juga," katanya.