Laras tarif air ikut penanda aras

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pelarasan kadar tarif air perlu dibuat mengikut kaedah penanda aras bagi mengelakkan pengguna terbeban.

Pengerusi Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, mengambil contoh kos rawatan air misalnya, loji yang menggunakan kos merawat air paling rendah akan dijadikan penanda aras untuk diikuti loji lain.

“Contohnya, di Semenanjung dan Labuan ada 15 loji rawatan air yang kualiti airnya sama. Dalam 15 loji itu katakan ada satu loji yang kos paling rendah 15 sen bagi satu meter padu.

“Kita akan ambil kos 15 sen ini sebagai penanda aras. Kita tak akan endahkan loji lain yang merawat air dengan kos tambahan lebih 15 sen,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar bahawa kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menurut Piarapakaran, kaedah penanda arasan juga lebih telus kerana semua kos akan diaudit dan ada penanda aras.

“Kalau kerajaan nak laraskan tarif boleh, tiada masalah. Tapi pastikan kos-kos yang diberikan ini diaudit dan ada penanda aras.

“Kalau tiada penanda aras, kos yang membebankan masih ada dalam tarif. Misalnya ada syarikat air yang mahu tambah beberapa persen margin keuntungan untuk tarif baru, ini pengiraan cara salah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, kaedah penanda arasan itu sudah dicadangkan pihaknya sejak beberapa tahun lalu namun tidak pernah dilaksanakan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Saya harap Dr Xavier akan mendengar pandangan pihak lain dan bukan SPAN saja. Kalau tak nak tarif membebankan, balik kepada intipati asal penstrukturan semula.

“SPAN pun dah pernah keluarkan duit untuk buat modul penanda arasan, buat audit dan ada data untuk dua tahun. Tetapi mereka tak nak buat kaedah penanda arasan ini,” katanya.