Koronavirus: Pahang tempatkan alat pengesan haba di pintu masuk

Wan Rosdy menyampaikan sumbangan untuk JKKK daerah Jerantut yang diterima oleh Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi,Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah bagi daerah tersebut.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan untuk JKKK daerah Jerantut yang diterima oleh Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi,Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Nazri Ngah bagi daerah tersebut.
A
A
A

JERANTUT - Pahang menempatkan alat pengesan haba (thermal scanner) di tiga pintu masuk antarabangsa sebagai langkah mencegah jangkitan koronavirus di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, alat itu ditempatkan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Pelabuhan Kuantan dan Jeti Tekek di Pulau Tioman.

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas keputusan mengenainya dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang dan taklimat khas mengenai koronavirus.

"Mesyuarat juga memutuskan penganjuran sebarang aktiviti sukan seperti larian antarabangsa perlu memperolehi dokumen kesihatan sokongan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut Serta Penyampaian Watikah Lantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Sumbangan Kerajaan Negeri Kepada JKKK Negeri Pahang di sini malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak dan barisan Exco kerajaan negeri serta Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Wan Rosdy berkata, selain saringan di pintu masuk antarabangsa, mesyuarat turut memutuskan saringan akan dilakukan di klinik serta hospital dan pemantauan proaktif perlu dilaksanakan di hotel-hotel atau tempat penginapan pelancong dari negara yang berisiko.

"Perbincangan juga dilakukan dengan pihak Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Pelabuhan Kuantan dan LTSAS mengenai langkah siap siaga lain yang perlu diambil.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri amat mengambil berat isu jangkitan koronavirus ini walaupun tiada jangkitan dilaporkan setakat ini di Pahang, kerana ia amat berbahaya dan mampu merebak dengan cepat," katanya.

Katanya, beliau juga meminta orang ramai supaya segera merujuk ke hospital berdekatan sekiranya mengalami simptom seperti demam atau batuk.