Wahai peniaga makanan, berubahlah

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEPANJANG minggu ini Merak Jalanan memang sangat sibuk dengan pelbagai urusan sampai rutin makan juga ada ketika terbabas.

Sebenarnya Merak Jalanan ini memang sering makan bersama rakan sepejabat di kedai apabila tiba waktu makan tengah hari.

Apabila Merak Jalanan tidak sempat keluar ke kedai makan, selalunya tempahan makanan melalui online menjadi pilihan kerana ia menyediakan pelbagai pilihan makan dari pelbagai premis di sekitar pejabat sahaja.

Namun, sejak akhir-akhir ini, Merak Jalanan dapati mutu penyediaan makanan oleh peniaga makanan yang menggunakan khidmat penghantaran ini makin merudum.

Ada sambal yang terlebih pedas. Ada nasi goreng terasa hambar tanpa garam atau sayuran yang sewajarnya. Ada ayam yang terlebih goreng. Ada bekas pembungkus makanan rosak dan banyak lagi senarainya.

Sebenarnya, kos makanan yang dibayar melalui agensi penghantar makanan jauh lebih mahal berbanding makan di kedai sendiri.

Bayangkan, Merak Jalanan membuat pesanan dua nasi goreng Cina dan sup ayam cajnya RM36.50. Walaupun dikenakan bayaran sedemikian rupa, pelanggan tetap bayar kerana mereka memerlukan khidmat tersebut.

Tetapi sebagai peniaga yang bertanggungjawab, mereka sepatutnya menyediakan makanan yang bersih dan sedaplah. Jangan sampai pelanggan lari dan membuat reviu buruk tentang perkhidmatan anda.

Artikel Berkaitan:

Walaupun bukan semua peniaga bersikap demikian tetapi ia memberi gambaran dan imej buruk kepada peniaga lain yang memberikan servis terbaik kepada pelanggannya.

Satu sahaja nasihat Merak Jalanan kepada peniaga ini, ubahlah sikap anda. Berniagalah dengan lebih ikhlas. Jangan kerana anda tidak berjumpa pelanggan secara semuka, anda boleh menyedia makanan sesuka hati.