Rangka manusia ditemukan dalam tong sampah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Misteri bau yang teramat busuk daripada sebuah tong sampah yang ditinggalkan berhampiran lereng bukit di tepi jalan Paya Terubong, dekat sini sejak semalam membawa kepada penemuan rangka manusia hampir reput yang disembunyikan di dalam tong sampah bertutup itu malam ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang peniaga di kawasan itu kira-kira jam 7.20 malam memaklumkan terdapat bau busuk berhampiran tiang elektrik di tepi lereng bukit di situ.

"Sepasukan polis terus ke lokasi dan pemeriksaan mendapati terdapat sebuah tong sampah warna hijau dipercayai milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di lereng bukit di situ yang berbau busuk dan terdapat rangka manusia di dalamnya," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Katanya, pihak polis menggunakan tali untuk membawa naik tong sampah itu ke tepi jalan di lereng bukit berkenaan sebelum terus membawanya ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan itu bagi membantu siasatan dan mengesan pihak yang meninggalkan tong sampah berisi rangka manusia dipercayai telah mati lebih lima hari itu. - Bernama

=

Artikel Berkaitan: